06 Jun 2012

Rumah digeledah, kereta hilang

16 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang peniaga terkejut menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan tempat tinggalnya memaklumkan mengenai rumahnya dipecah masuk, petang kelmarin.

Kejadian berlaku di Taman Chip Aik, dekat sini, kira-kira 2.30 petang ketika semua penghuni rumah terbabit tiada di rumah kerana masingmasing keluar bekerja sejak 9 pagi.

Ia hanya disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di kawasan perumahan itu, sebelum tergamam mendapati pintu rumah milik peniaga berkenaan terbuka. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Zazali Hashim berkata, berdasarkan siasatan awal, penjenayah terbabit memasuki kediaman mangsa dengan memotong pintu besi di bahagian hadapan sebelum menggeledah keseluruhan rumah terbabit.

“Kereta Toyota Alphard milik mangsa yang diletakkan di garaj juga dilarikan, selain beberapa barang lain seperti sebuah laptop, wang tunai berjumlah RM300 serta beberapa botol minuman keras.

“Nilai kerugian mangsa dianggarkan hampir RM200,000 dan polis masih menjalankan siasatan cara penyamun terbabit memasuki rumah mangsa berikutan terdapat pengawal keselamatan yang ditugaskan melakukan rondaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Zazali berkata, keterangan daripada pengawal keselamatan turut diambil bagi membantu siasatan dan sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan. Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan serta pecah rumah.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya berhubung dengan balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya Difahamkan, keluarga terbabit memiliki kedai aksesori kenderaan dan rumah miliknya itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

Sinar Harian

Tiada ulasan: