14 Oktober 2021

Aroma dapur kayu Warung Mek Lamah, lambai pengunjung ke Terengganu

 

Warung Mek Lamah menyediakan masakan asli kampung yang dimasak menggunakan dapur kayu untuk rasa yang mengasyikkan. (Gambar Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

KUALA BERANG: Sebaik sekatan perjalanan berakhir dan orang ramai tidak sabar lagi untuk merentas sempadan negeri, perjalanan ke Terengganu seolah tepat pada masanya.

Mengapa Terengganu? Selain dari pantainya yang indah, negeri ini cukup tersohor dengan khazanah kulinari yang tidak pernah dibayangkan oleh orang bandar.

Salah satu contohnya adalah sebuah warung lama di tepi jalan di Kuala Berang, terletak berhampiran dengan destinasi pelancongan Tasik Kenyir dan kira-kira 45 minit dari Kuala Terengganu.

Dari segi luarannya, ia mungkin tidak seberapa bagi pengunjung bandar. Lebih-lebih lagi dengan binaan serta susunan kayu dan batu yang sangat sederhana di pinggir hutan. Tetapi jangan tertipu, di sinilah terhimpunnya pelbagai jenis masakan selera kampung ala pantai timur yang lazat.

Terletak di sebuah jalan di pinggir bandar, Warung Mek Lamah menjadi buruan penggemar selera kampung kerana hidangannya yang unik. (Gambar Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Terletak di jambatan yang menuju ke Kampung Dusun, warung itu dibuka pada bulan Mac tahun lalu dan dikendalikan oleh pasangan suami-isteri Abdullah Ali, 61, dan Jalamah, 58, juga dikenali sebagai Mek Lamah.

Perniagaan ini dimulakan bukan kerana keperluan kewangan tetapi lebih kepada cara Mek Lamah berkongsi keenakan makanan tradisional Melayu dengan insan lain.

Makanan di sini dimasak di atas dapur kayu berbanding gas biasa, memberikannya rasa asap yang tersendiri dan aroma yang unik, malah waktu memasaknya juga lebih pendek.

Ikan adalah makanan utama dalam masakan di Terengganu, dan tidak hairanlah, ia menjadi tumpuan di Warung Mek Lamah.

Hidangan yang sangat disarankan oleh penduduk tempatan di sini adalah “ikan baung masak tempoyak”, yang segar dari Tasik Kenyir.

Bagi mereka yang suka mencuba, ‘ikan baung masak tempoyak’ sangat disarankan. (Gambar Warung Mek Lamah @ Facebook)

Tempoyak, sejenis makanan Melayu diperbuat daripada durian yang diperam, menghasilkan rasa antara manis dan masam, dengan aroma yang sedikit pedas.

Rasa ini kemudian bersebati dengan isi ikan yang lembut, menghasilkan hidangan lebih enak berbanding rupanya.

Untuk pengalaman yang terbaik, potong sedikit ikan sebelum memakannya dengan sesudu nasi bersama tempoyak.

Hidangan lain yang patut dicuba adalah “ikan lampan”, yang sengaja digoreng garing supaya anda dapat menikmati setiap bahagian ikan tersebut dengan kerangupan yang memuaskan.

Kapsyen: Kebanyakan hidangan di sini adalah berasaskan ikan, seperti ‘ikan lampan’ yang goreng garing dan sempurna kerangupannya. (Gambar Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

“Ikan tilapia bakar” juga terdapat di dalam menu, perubahan lebih segar dari ikan yang biasanya dikukus. Asingkan isi ikan dari kulitnya yang rangup dan nikmatinya panas-panas.

Kemudian ada juga “keli berlada”, yang disajikan dengan sejumlah rempah-ratus yang mengasyikkan.

Dan untuk anak-anak yang tidak boleh hidup tanpa hidangan ayam, anda boleh memesan “ayam goreng” yang ringkas tetapi enak.

Untuk sayur-sayuran, pelbagai hidangan disediakan, termasuk “nasi kerabu ulam”, yang terdiri dari sayur-sayuran mentah yang cincang.

Kapsyen: Ulam yang terdiri daripada sayur-sayuran mentah yang dicincang, mempunyai rasa tersendiri yang cukup membuka selera. (Gambar Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

“Terung berlada” juga cukup mendapat perhatian, dengan isi terung lembut yang cukup mengumpan.

Selain itu, kunjungan ke restoran di Terengganu tidak akan lengkap tanpa mencuba “budu”, sejenis sos tradisional yang digunakan oleh masyarakat Melayu di sini, diperbuat daripada ikan bilis yang diperap dengan garam.

Dengan rasa sedikit masin dan masam, hanya sesudu ke dalam nasi akan menjadikan anda seorang yang gembira, terutamanya jika anda memilih untuk menggandingkannya juga dengan sambal yang enak.

Tiba saja saat untuk meninggalkan warung sederhana ini, tidak dapat dinafikan anda pasti sudah merancang untuk kembali lagi dalam lawatan seterusnya ke Terengganu.

Anda pasti terliur dengan rasa sambal padu yang pedas dan masam. (Gambar Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai masakan kampung asli di Warung Mek Lamah, lawati profil Facebooknya atau hubungi 012-9210468.

Warung Mek Lamah
Kg Dusun,
21700 Kuala Berang,
Terengganu

Waktu perniagaan: 10pg-3ptg setiap hari, ditutup pada hari Jumaat

FMT/-

Tiada ulasan: