14 Oktober 2021

Jepun bubar Parlimen, beri laluan pilihan raya umum

 

Pilihan raya umum Jepun bakal diadakan pada 31 Okt, kurang sebulan selepas Fumio Kishida dilantik menjadi Perdana Menteri baharu pada 4 Okt. (Gambar AP)

TOKYO: Pilihan raya umum Jepun bakal diadakan pada 31 Okt selepas Parlimen negara ini dibubarkan hari ini, lapor Agensi Berita Xinhua.

Penggal empat tahun Ahli Parlimen Dewan Rakyat tamat pada 21 Okt.

Dalam era selepas perang, buat kali pertama pilihan raya umum (PRU) Jepun diadakan selepas tempoh penggal berakhir. Tempoh masa antara pembubaran Parlimen dan hari pengundian juga adalah yang paling singkat.

Pada 29 Sept, Fumio Kishida memenangi pemilihan presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) dan dipilih menjadi Perdana Menteri baharu pada 4 Okt.

Kishida mahu mendapatkan lebih banyak sokongan daripada rakyat pada PRU kali ini menerusi dasarnya untuk memulihkan ekonomi yang terjejas akibat wabak dan memperkasa tindak balas Covid-19.

Beliau berkata, pakej ekonomi bernilai “puluhan trilion yen” sedang disiapkan untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat Covid-19..

Dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri, Kishida berikrar untuk mencapai pertumbuhan ekonomi negara dan mengagihkan semula hasil kejayaan itu untuk mewujudkan kelas pertengahan yang lebih kuat.

Namun, baru-baru ini, beliau menegaskan Jepun perlu merealisasikan pertumbuhan ekonomi terlebih dahulu sebelum mengagihkan semula kekayaan.

Menurut tinjauan Kyodo News, tahap sokongan terhadap Jemaah Menteri Kishida adalah sebanyak 55.7%.

Ikrar Kishida untuk mengurangkan jurang kekayaan agak diragui selepas beliau menyatakan keputusan untuk menangguhkan rancangannya mempertimbangkan kenaikan kadar cukai keuntungan modal.

Sementara itu, Parti Demokrasi Perlembagaan Jepun (CDPJ) menegaskan bahawa negara itu tidak dapat mencapai pertumbuhan ekonomi dan pengurangan kemiskinan kecuali masalah pengagihan semula kekayaan diatasi terlebih dahulu.

Parti itu berikrar akan meningkatkan cukai individu yang kaya dan syarikat besar sambil meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

CDPJ telah meminta cukai penggunaan diturunkan dari 10% kepada 5% dan pengecualian cukai kepada mereka yang memperoleh kurang 10 juta yen (USD88,063,05) setiap tahun.

Bernama/-


Tiada ulasan: