14 Oktober 2021

Krisis tenaga elektrik hantui banyak negara di dunia

 


11 OKT: Krisis tenaga elektrik di beberapa buah negara di dunia semakin meruncing dan membimbangkan sekali gus catuan penggunaan elektrik terpaksa dilakukan.

Sebahagian wilayah di China telah mencatu penggunaan elektrik bahkan beberapa negara Eropah terpaksa membayar harga tinggi bagi mendapatkan bekalan bahan bakar.
Ketika ekonomi global dalam fasa pemulihan akibat pandemik COVID-19, krisis tenaga ini memberi tekanan tambahan terhadap rangkaian bekalan dan mencetuskan ketegangan geopolitik.

Krisis itu didakwa berlaku kerana pelbagai faktor, terutama ketika fasa pemulihan ekonomi apabila banyak negara mengeluarkan perbelanjaan minimum untuk mendapatkan bekalan bahan bakar sejak 18 bulan terakhir.

Selain itu, musim sejuk luar biasa di Eropah juga menyebabkan rizab tenaga benua itu berkurangan, termasuk akibat beberapa siri taufan yang melanda sehingga menyaksikan telaga minyak di negara Teluk ditutup.

Fenomena itu turut memburukkan hubungan antara China dan Australia, selain kekurangan kapasiti angin di laut turut menyumbang kepada krisis tenaga yang berlaku ketika ini.

Kerajaan beberapa negara kini berusaha menyediakan subsidi untuk mengelakkan reaksi politik yang luar biasa dalam kalangan rakyat masing-masing.

Di Lubnan baru-baru ini, bekalan elektrik hanya berjaya dipulihkan selepas 24 jam terputus kerana dua stesen jana kuasa utama berhenti operasi berikutan kekurangan bekalan bahan bakar.

Kementerian Tenaga Lubnan memaklumkan, bank pusat meluluskan kredit berjumlah AS$100 juta (RM418 juta) untuk membeli bahan bakar dan memastikan dua stesen jana kuasa berkenaan terus beroperasi.

Data kerajaan India pula menunjukkan separuh daripada 135 loji kuasa yang dijana arang batu mempunyai jumlah bekalan bahan bakar untuk kurang tiga hari.

Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal, menggesa Perdana Menteri, Narendra Modi, mendapatkan lebih banyak bekalan arang batu dan gas bagi mengelakkan bandar itu terputus bekalan elektrik.

China juga tidak terkecuali, di mana beberapa bandar utama terpaksa mencatu bekalan elektrik selain banyak kilang terpaksa ditutup ekoran masalah sama.

Gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di wilayah Guangdong, Heilongjiang, Jilin dan Liaoning.

Banyak peniaga terpaksa menggunakan lilin untuk menerangi premis perniagaan mereka, selain talian komunikasi turut terjejas. – AGENSI

http://www.pnbbcportal.com/2021/10/11/krisis-tenaga-elektrik-hantui-banyak-negara-di-dunia/

Tiada ulasan: