14 Oktober 2021

Peladang harum manis nikmati ‘durian runtuh’ beralih kepada perniagaan dalam talian

 

Norkhiriri Hassan mempunyai 8,000 pokok mangga di tiga ladang di Perlis.

PETALING JAYA: Sejak tujuh tahun lalu, Norkhiriri Hassan, berkecimpung dalam perusahaan penanaman mangga harus manis di Perlis, termasuk menjual hasil tanamannya itu ke seluruh Semenanjung.

“Saya mempunyai 8,000 pokok mangga harum manis keseluruhannya di tiga ladang di Perlis, di mana saya bersama kumpulan kami menjual mangga itu di cawangan di Kuala Lumpur, Selangor, Kuantan, Pulang Pinang dan banyak lagi kawasan lain.

“Semuanya berjalan cukup lancar sebelum wabak Covid-19 melanda,” katanya kepada FMT.

Norkhiriri berkata, sebelum wabak melanda, beliau mampu menjual 40 tan mangga harum manis pada 2019, namun jumlah itu berkurangan kepada hanya 20 tan sahaja, pada 2020.

“Kami juga terpaksa menutup semua cawangan di Semenanjung ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana berada dalam kawasan merah,” katanya.

Menyedari ikhtiar lain perlu dilakukan untuk menjual produknya, Norkhiriri mengambil keputusan mencetus semula perniagaan mangga harum manisnya dengan menggunakan platform dalam talian.

Mohamad Mustahapa Awang.

Beliau berkata, inisiatif menjual mangga itu menerusi dalam talian sudah bermula pada 2016, namun beliau sekadar mengaut untung RM200 sahaja sebulan memandangkan pembelian dalam platform itu masih janggal dilakukan pengguna di negara ini walaupun ketika musim buah terbabit bermula April hingga Jun.

“Bagaimanapun, dengan situasi wabak, orang ramai mula melakukan peralihan melakukan pembelian barang menerusi dalam talian. Justeru, saya mengambil keputusan menceburi semula perniagaan saya melalui platform, Agrobazaar Online, dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Saya mendapati menggunakan platform berkenaan membantu melipatgandakan hasil jualan dan ia cukup mudah untuk digunakan,” katanya.

Norkhiriri berkata, bermula April hingga Jun 2020 dan 2021, beliau memperoleh keuntungan sehingga lima kali ganda lebih tinggi, sejak melakukan peralihan menjual mangga harum manis dalam talian.

Beliau berkata, platform terbabit membantu menghapuskan orang tengah untuk menjual produk, sekaligus memudahkan pengusaha sepertinya menjual mangga itu secara terus kepada pengguna pada harga berdaya saing, sambil menambah semua keuntungan menjadi miliknya.

Katanya, pihak FAMA kerap hadir ke ladangnya bagi memastikan sama ada beliau memerlukan bantuan terutamanya meningkatkan jualan, dan memantau kualiti produk keluarannya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA (Pembangunan) Mohamad Mustahapa Awang, menggesa lebih ramai peladang dan usahawan tempatan menceburi Agrobazaar Online.

Mustahapa berkata, kemudahan platform e-dagang menawarkan ribuan barangan unik dan asli merangkumi pelbagai kategori seperti produk segar, makanan diproses, perikanan, pertanian dan banyak lagi.

Bagi mereka yang bimbang untuk melakukan perubahan ke arah pemasaran digital, beliau berkata, FAMA sudah mempunyai pelbagai strategi formulasi dalam menyediakan latihan e-dagang, termasuk pembangunan bagi kumpulan itu bertujuan meningkatkan kemahiran dalam jualan digital.

“Sebagai contoh, jabatan pemasaran digital FAMA akan memberi panduan kepada kumpulan itu berkenaan cara memasarkan produk mereka menggunakan media sosial. Kami juga menyediakan kursus penulisan pengiklanan demi meningkatkan kebolehpasaran produk masing-masing,” katanya.

Mustahapa berkata, platform Agrobazaar Online, juga bersesuaian menjadi penghubung kerjasama strategik antara peladang dengan usahawan tempatan dalam sektor swasta.

FMT/-

Tiada ulasan: