14 Oktober 2021

PRN Melaka penentu kerjasama parti politik PRU15

 

Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pejuang, Warisan, Pakatan Harapan dan MUDA berkemungkinan besar akan meletakkan calon dalam PRN Melaka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis menjangkakan parti politik akan menjadikan pilihan raya negeri (PRN) Melaka sebagai kayu pengukur bagi menentukan kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurut Azizuddin Mohd Sani penganalisis dari Universiti Utara Malaysia, kemungkinan wujud pakatan baharu berdasarkan keputusan PRN itu nanti.

Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pejuang, Warisan, Pakatan Harapan dan MUDA berkemungkinan besar akan meletakkan calon dalam PRN di negeri yang mempunyai populasi penduduk sejuta orang itu.

“Warisan mungkin cuba meletakkan dirinya sebagai parti nasional dan boleh bekerjasama dengan parti MUDA pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman dan Pejuang untuk menguji penerimaan pengundi terhadap parti itu,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 5 Oktober lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin ini untuk menetapkan hari penamaan calon dan hari pengundian.

Mengikut perlembagaan, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

PRN ini juga dilihat sebagai ujian sama ada Umno perlu bergerak secara solo dalam PRU tanpa PAS, yang menyokong Bersatu dalam krisis politik baru-baru ini.

“Sesetengah pemimpin dalam Umno masih berasa dikhianati oleh PAS dan mereka tidak sabar untuk memutuskan hubungan,” kata Azizuddin.

“Tetapi ada juga yang lain, terutamanya dalam kalangan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang mahu bekerjasama dengan PAS untuk memanfaatkan akar umbi mereka yang kuat di kawasan luar bandar terutama di Pantai Timur.”

Katanya, PAS mahu terus bersama Bersatu menerusi Perikatan Nasional dan juga bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN).

“PAS berada di tengah-tengah tetapi lebih condong kepada Bersatu. Bersatu memerlukan PAS untuk menguatkan sokongan akar umbi manakala PAS memerlukan bantuan dana daripada Bersatu.

Presiden Umno pula memaklumkan, parti itu akan bergerak sendirian tanpa kerjasama dengan MN dan Bersatu di Melaka.

Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata, Umno mungkin tidak akan menerima PAS kerana “pengkhianatan” parti itu baru-baru ini.

“PAS memilih untuk bersama Umno ketika berdepan krisis politik tetapi memutuskan untuk mempertahankan Bersatu,” katanya.

Jelasnya lagi, PAS mungkin berasa lebih mudah untuk membincangkan peruntukan kerusi dengan Bersatu berbanding Umno, yang mungkin meminta tambahan kerusi di Terengganu.

“Dengan Bersatu, ia mungkin bertanding di kerusi penting dan popular yang mungkin tidak akan diserahkan oleh Umno kepada mereka,” katanya.

FMT/-

Tiada ulasan: