13 Oktober 2021

Umur 60 tahun ke atas masih boleh umrah

 

ANTARA jemaah umrah kumpulan pertama menerusi Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. berlepas ke tanah suci di KLIA, Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR

SEPANG: Berita gembira untuk umat Islam yang berusia 60 tahun ke atas apabila setakat ini kerajaan Arab Saudi masih membenarkan kelompok itu menunaikan umrah di Tanah Suci.

 Perkara ini disahkan Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. apabila dimaklumkan pihak berkuasa negara itu berhubung desas-desus kononnya hanya untuk mereka berusia bawah 60 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Jualannya, Shahrul Izuan Shafie, setakat ini, kerajaan negara itu tidak mewartakan sebarang had usia maksimum untuk bakal jemaah datang mengerjakan umrah.

 “Memang banyak diperkatakan dalam media sosial tetapi, sehingga kini, hanya mereka umur 18 tahun ke atas yang dibenarkan tanpa ada pun penetapan usia jemaah paling tua,” katanya selepas meraikan kumpulan pertama 11 jemaah umrah agensi itu berlepas ke Tanah Haram selepas pembukaan semula pintu sempadan.

 Mereka menjadi warga Malaysia pertama memasuki Arab Saudi dan menaiki pesawat Saudi Airlines penerbangan SV 0787 dari Lapangan Terbang Antarabangasa Kuala Lumpur di sini susulan pengumuman kerajaan pada Ahad lalu yang membenarkan pergerakan rentas negeri termasuk ke luar negara berkuat kuasa keesokannya bagi yang lengkap dos vaksinasi.

 Mengulas lanjut, Shahrul Izuan berkata, berdasarkan pemantauan petugas agensi itu di Tanah Suci, memang ada ramai jemaah warga emas dari seluruh dunia yang datang ke sana.

 “Terbaharu ada seorang jemaah umrah dari Britain yang berumur 89 tahun direkodkan untuk ibadah ini, dan menunjukkan tiada pun sekatan kecuali remaja bawah 18 tahun,” jelasnya.

 Justeru, beliau membayangkan, mereka berusia lebih 60 tahun yang tidak dapat menunaikan ibadah haji kerana faktor umur, boleh melakukan umrah asalkan lengkap dua dos imunisasi.

 Bagaimanapun, ujarnya, masalah mungkin timbul bagi bakal jemaah yang menerima vaksin bukan jenis Pfizer, AstraZeneca dan Moderna kerana perlu dikenakan pelbagai syarat ketat.

 Sehubungan itu, beliau memohon Kementerian Kesihatan agar berunding dengan kerajaan Arab Saudi bagi memberi kelonggaran atau diberikan dos penggalak seperti yang ditetapkan.

 “Ramai yang kami hubungi meluahkan perasaan kecewa dan berharap supaya kerajaan mempercepatkan dos penggalak bagi penerima lengkap vaksin bukan tiga jenis tersebut,” katanya.

 Shahrul Izuan dalam pada itu melahirkan keyakinan bahawa agensi tersebut optimis mampu membawa maksimum 20,000 bakal jemaah dari negara ini untuk sepanjang tahun depan.

 Jumlah ini berdasarkan unjuran awal daripada anggaran lebih 3,000 bakal jemaah agensi itu yang terkandas hampir tempoh 19 bulan ketika kerajaan menutup sempadan antarabangsa.

 Bahkan, agensi itu dijangka berupaya menguruskan ramai bakal jemaah kerana ia antara tiga syarikat tempatan diberikan kuasa mengeluarkan terus visa umrah dari kedutaan Arab Saudi.  

 “Ini membolehkan harga visa dapat diserapkan menjadi lebih rendah berbanding agensi lain yang terpaksa menggunakan khidmat orang tengah dengan dikenakan caj mahal,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: