13 Oktober 2021

Sabah baru capai 70.3 peratus vaksinasi

 Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. - Fail NSTP

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. - Fail NSTP

KOTA KINABALU: Sabah baru mencapai 70.3 peratus daripada jumlah penduduk dewasa yang lengkap mendapatkan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata peratusan itu mewakili 1,939,517 penduduk berumur 18 tahun ke atas.

Beliau berkata, penduduk dewasa di negeri itu yang menerima satu dos vaksin ialah seramai 2,079,569 orang atau 75.4 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Sabah.

"Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima satu dos vaksin setakat 11 Oktober ialah 2,380,981 orang, dengan 2,079,569 orang adalah penduduk dewasa iaitu bersamaan dengan 75.4 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Sabah.

"Penduduk Sabah yang menerima dos lengkap ialah 2,055,483 orang. Daripada jumlah ini, seramai 1,939,517 orang atau 70.3 peratus adalah penduduk dewasa," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata bagi vaksinasi remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun, seramai 301,412 orang atau 70.7 peratus sudah menerima satu dos vaksin setakat semalam

Katanya, seramai 115,966 atau 27 peratus daripada jumlah remaja di Sabah pula sudah menerima vaksin lengkap setakat semalam.

"Laporan vaksinasi harian COVID-19 semalam merekodkan 41,979 orang menerima vaksin, iaitu 15,003 penduduk dewasa, manakala seramai 26,976 orang adalah remaja," katanya.

Sabah disasar mencapai imuniti kelompok vaksin COVID-19 atau 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin pada awal bulan depan.

bharian/-

Tiada ulasan: