13 Oktober 2021

India import 354,462 tan minyak sawit Malaysia pada September

 Gambar fail. - NSTP/ADI SAFRI

Gambar fail. - NSTP/ADI SAFRI

NEW DELHI: India mengimport 354,462 tan minyak sawit dari Malaysia pada September 2021, dengan produk bertapis merangkumi kira-kira satu perempat daripada jumlah itu.

Import itu meliputi 251,346 tan minyak sawit mentah (MSM); 93,616 tan olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) serta 9,500 tan minyak isirung sawit mentah, menurut data daripada Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang dikeluarkan pada Rabu.

Import minyak makan India berjumlah 1.69 juta tan pada September 2021, mewakili 67 peratus kenaikan daripada jumlah pada Ogos, rekod bulanan baharu ketika situasi kenaikan harga minyak masak dalam pasaran domestik.

Daripada jumlah itu, minyak sawit membentuk lebih 1.26 juta tan, angka import bulan tunggal tertinggi bagi komoditi tersebut.

Sebagai pengimport minyak makan terbesar dunia, yang bergantung kepada sumber asing sebanyak lebih daripada separuh keperluan penggunaan tempatan, India telah melonggarkan peraturan import selain mengurangkan tarif pada beberapa bulan lalu untuk meningkatkan bekalan runcit.

Kerajaan juga mengenakan had ke atas peniaga yang menyimpan stok minyak makan dan minyak bijian sehingga Mac 2022 untuk mengekang inflasi.

Malaysia dan Indonesia adalah pembekal utama minyak sawit kepada India, manakala Argentina, Ukraine dan Russia pula ialah sumber utama India bagi minyak kacang soya dan minyak bunga matahari.

Bulan lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Zuraida Kamaruddin memberitahu persidangan industri bahawa Malaysia mengeksport 1.8 juta tan minyak sawit ke India bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini. – Bernama

Tiada ulasan: