13 Oktober 2021

Sabah benar rentas daerah bermula esok, rentas negeri 1 November ini

 Foto hiasan

Foto hiasan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan aktiviti rentas daerah seluruh Sabah tanpa mengikut zon yang akan berkuat kuasa esok.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, pihaknya berpuas hati dengan laporan peratus vaksinasi lengkap negeri setakat hari ini yang dikeluarkan Jawatankuasa Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) sudah melebihi 70 peratus.

"Selaras dengan itu, kerajaan negeri bersetuju supaya rentas daerah dibenarkan di seluruh negeri mulai 14 Oktober (esok) dengan beberapa syarat.

"Antara syarat itu adalah individu sudah lengkap divaksin. Bagi remaja berusia 12 sehingga 18 tahun pula mestilah yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun harus ditemani oleh ibu bapa yang lengkap divaksin," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata, pihaknya juga bersetuju untuk memberi kebenaran merentas negeri yang akan berkuat kuasa bermula 1 November ini.

"Kemasukan ke Sabah untuk lawatan sosial dan pelancongan adalah dibenarkan juga dengan beberapa syarat.

"Individu haruslah lengkap divaksin dan perlu menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan," katanya.

Hajiji turut menyatakan syarat untuk golongan remaja dan kanak-kanak merentas negeri juga sama seperti syarat yang dikenakan untuk rentas daerah.

hmetro/-

Tiada ulasan: