13 Oktober 2021

Lebih 10,000 pertanyaan umrah diterima THTS

 

Warga Arab Saudi melakukan ibadah Tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram, Mekah pada 4 Oktober 2020. - AFP Gambar hiasan

PETALING JAYA – TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) menerima lebih 10,000 pertanyaan mengenai urusan menunaikan umrah musim 1443H (2021-2022).

THTS dalam satu kenyataan berkata, hampir 1,400 bakal jemaah umrah pula telah menyatakan hasrat untuk berlepas sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, tempahan dijangka terus meningkat berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan rakyat Malaysia lengkap vaksinasi rentas negeri dan keluar negara mulai kelmarin.

Katanya, THTS  menyambut baik usaha kerajaan dalam membuka semula sempadan negara bagi mengukuhkan lagi ekonomi Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.

“Dianggarkan kos untuk mengerjakan umrah pada musim ini akan meningkat sedikit kerana mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

THTS sentiasa berusaha memastikan semua pelanggan yang menggunakan perkhidmatan pihak kami khasnya untuk ibadah umrah, pelancongan dalam dan luar negara akan diuruskan sebaik mungkin dengan mematuhi segala SOP Kerajaan Malaysia dan negara tuan rumah iaitu Arab Saudi,” katanya.

Kenyataan itu memberitahu, Kerajaan Arab Saudi telah meletakkan syarat asas bagi jemaah umrah seperti berumur 18 tahun ke atas yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson.

Bagaimanapun, katanya, bagi penerima vaksin Sinovac, mereka perlu mendapat suntikan tambahan atau ‘booster’ keluaran empat syarikat tersebut.

“Kerajaan Arab Saudi juga menetapkan umrah hanya boleh dilakukan sekali dalam tempoh 14 hari dan pelaksanaan Tawaf Umrah perlu menepati slot waktu yang diluluskan semasa permohonan visa umrah yang dibuat secara online,” jelasnya. – K! ONLINE.

Tiada ulasan: