13 Oktober 2021

Jualan tiket bas ekpres ke Selatan suram

 Pengusaha bas ekpres SC Southern, Mohd Faizal Ramasamy, 34, menyembur cecair pembasmi kuman sebelum menerima penumpang dan memulakan perjalanan di depoh bas di Larkin, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Pengusaha bas ekpres SC Southern, Mohd Faizal Ramasamy, 34, menyembur cecair pembasmi kuman sebelum menerima penumpang dan memulakan perjalanan di depoh bas di Larkin, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JOHOR BAHRU: Sambutan terhadap pembelian tiket bas ekpres di negeri ini masih lembap walaupun kebenaran rentas negeri dibenarkan sejak Isnin lalu.

Pengusaha bas ekpres SC Southern, Mohd Faizal Ramasamy, 34, berkata sejak penjualan tiket online dibuka Isnin lalu, sambutan pembelian tiket daripada pengguna yang membeli tiket bas syarikat itu tidak sampai 10 orang.

Syarikat bas ekpres kecil sepertinya juga terpaksa berhadapan persaingan sengit daripada syarikat bas ekpres besar yang mampu menawarkan harga tiket lebih murah.

"Saya sebelum ini adalah pengusaha bas pesiaran bagi pelancong yang masuk dari Singapura, namun berikutan sempadan masih ditutup saya terpaksa menukar tiga bas yang dimiliki sebagai bas ekpres.

"Saya mengeluarkan modal RM45,000 untuk menukar status tiga bas persiaran kepada ekpres termasuk belanja untuk mengecat semula bas, kos penyelenggaran selain bayaran pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Namun sambutan pengguna terhadap tiket bas masih sangat rendah mungkin orang ramai masih mengambil sikap berhati-hati.

"Saya harap sambutan pengguna akan meningkat menjelang hujung minggu atau minggu seterusnya," katanya yang menawarkan tiket laluan Johor Bahru-Kuala Lumpur dan Johor Bahru-Klang.

Terdahulu, Mohd Faizal membawa bas ekpresnya untuk dicuci dan melakukan proses nyah cemar di depoh bas di Larkin.

Ahad lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap untik melakukan pergerakan rentas negeri bermula Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia, R Thiagarajan, berkata sambutan pengguna terhadap laluan bas ekpres ke Selatan terutamanya Johor Bahru memang agak rendah sejak Isnin lalu.

Katanya, ia berbeza dengan laluan ke Utara serta Pantai Timur yang dilaporkan mencatatkan penjualan tiket bas yang amat memberangsangkan.

"Mungkin jualan tiket bas ke Selatan akan mula meningkat hujung minggu atau minggu-minggu selepas ini, jika kekal suram, kemungkinannya pengguna masih berhati-hati atau menggunakan pengangkutan sendiri atau perkhidmatan udara.

"Pengguna mempunyai banyak pilihan termasuk memilih perkhidmatan yang menawarkan harga munasabah serta mampu milik," katanya.

bharian/-

Tiada ulasan: