13 Oktober 2021

`Kita belum menang' - Dr Noor Hisham

 Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Kelonggaran merentas negeri yang dikuatkuasakan kerajaan sejak Isnin lalu

menjadi titik tolak terhadap perjuangan menerusi landskap 'medan perang' baharu dalam menghadapi COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setiap individu kini memainkan peranan penting untuk memastikan Keluarga Malaysia selamat daripada wabak itu.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mempunyai prinsip panduan yang jelas dalam menghadapi wabak itu dan kini tanggungjawab terletak pada bahu individu untuk melaksanakannya.

"Kita sudah berjaya sejauh ini bagi mengelakkan bencana nasional seperti yang berlaku di kebanyakan negara lain.

"Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga kerja di KKM serta mereka di belakang tabir yang bekerja sebagai satu pasukan untuk mengawal penularan COVID-19 di negara kita.

"Namun, ia tidak bermakna kita sudah keluar daripada bencana ini. Kemenangan hanya akan menjadi milik semua jika rakyat Malaysia bersatu-padu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan kesihatan awam sepanjang diberi 'kebebasan' merentas negeri.

"Kita mesti menyesuaikan diri dengan norma baharu ini kerana dunia tidak akan sama lagi. Kita semua mesti mengetahui bahawa tindakan setiap individu mempunyai kesan terhadap bagaimana kita menguruskan COVID-19 dalam komuniti kita," katanya dalam catatan di Facebook miliknya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pengumuman khasnya menguatkuasakan kebenaran merentas negeri kepada rakyat Malaysia yang lengkap divaksin bermula Isnin lalu selepas negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi.

Dr Noor Hisham berkata, dalam pada rakyat Malaysia merancang pulang ke kampung hujung minggu ini, perkara penting perlu dilakukan adalah merancang bagi pematuhan SOP dan amalan norma baharu.

"Kita mesti mempunyai disiplin dan patuh terhadap SOP dengan menerapkan jarak sosial, mengambil semua langkah berjaga-jaga dan menjaga kebersihan diri.

"Kita mesti memastikan semua orang mematuhi jarak yang selamat, terutama di tempat yang sesak dan terkurung, termasuk aspek ruang pengudaraan bagi menjadikannya lebih selamat.

"Ia termasuklah pembersihan kawasan seperti pantri atau ruang solat dan hanya membenarkan sebilangan kecil orang untuk berkumpul pada satu-satu masa untuk memastikan keselamatan penjarakan sosial," katanya.

bharian/-

Tiada ulasan: