14 Oktober 2021

Keganasan tercetus di Bangladesh ekoran hina Al-Quran

 Seorang pegawai polis berkawal di kuil Dhakeshwari semasa festival Durga Puja di Dhaka selepas orang ramai merosakkan beberapa kuil Hindu di seluruh negara. - Foto AFP

Seorang pegawai polis berkawal di kuil Dhakeshwari semasa festival Durga Puja di Dhaka selepas orang ramai merosakkan beberapa kuil Hindu di seluruh negara. - Foto AFP

DHAKA: Polis Bangladesh menembak maut empat individu ketika ratusan yang lain bertindak merosakkan beberapa kuil Hindu di seluruh negara, menurut polis hari ini.

Polis turut melepaskan tembakan ke arah sekumpulan lebih 500 orang malam tadi, berikutan tercetusnya kemarahan kononnya rakaman al-Quran diletakkan di sebuah patung dewa monyet Hindu, Hanuman ketika sambutan festival keagamaan.

Dalam insiden utama, kumpulan perusuh menyerang sebuah kuil Hindu dan bertembung dengan polis di bandar selatan Hajiganj, menyebabkan empat maut dan puluhan lain cedera, termasuk 15 pegawai polis, kata ketua polis tempatan, Milon Mahmud.

Seorang anggota polis mengesahkan keempat-empat mereka maut ditembak.

Polis memberitahu, majistret tempatan sudah memerintahkan larangan untuk mengadakan perhimpunan di kawasan itu dan tujuh individu juga sudah ditahan.

Kerajaan Bangladesh mengarahkan siasatan ke atas keganasan itu, dengan menggesa setiap individu yang terbabit dihukum serta meminta orang ramai untuk menjaga tingkah laku masing-masing.

"Kerajaan sudah meminta semua orang menjaga keharmonian beragama, keamanan dan keselamatan," menurut satu kenyataan.

Satu lagi kuil Hindu diserang di daerah timur Cumilla, di tengah-tengah dakwaan berlakunya penghinaan terhadap kitab umat Islam itu, kata pegawai polis, Monir Ahmed.

"Situasi kini aman. Ratusan anggota polis, pasukan bertindak elit dan pengawal keselamatan sudah dikerahkan," katanya, sambil menambah sekurang-kurangnya 40 orang sudah ditahan.

Polis juga bertempur dengan ratusan perusuh di bandar timur laut Zakiganj selepas orang ramai berkumpul di pusat bandar terbabit untuk melakukan protes.

"Beberapa individu dan dua pegawai polis juga cedera. Orang ramai menyerang dan merosakkan kenderaan polis dan pihak berkuasa tempatan. Kami sudah mengerahkan tambahan anggota polis," kata jurucakap polis, Lutfar Rahman.

Akhbar The Daily Star yang diedarkan secara besar-besaran melaporkan berhala dewa dan kuil Hindu dirosakkan di dua daerah luar bandar, sementara pihak berkuasa meningkatkan keselamatan di Chittagong, penempatan besar bagi penganut Hindu.

Penganut Hindu, mewakili sekitar 10 peratus dari 169 juta penduduk Bangladesh, berdepan ancaman keganasan sejak beberapa tahun terakhir ini, dengan provokasi mengenai khabar angin sering tersebar di media sosial. - AFP

Tiada ulasan: