14 Oktober 2021

Tengkorak manusia berusia 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, Perlis

 

PADANG BESAR: Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis.

Selain tengkorak manusia, hasil eksplorasi Jabatan Warisan, Kerajaan Negeri Perlis dan Persatuan Pendaki Negeri Perlis turut menemui lukisan dinding gua zaman proto sejarah di Gua Semadong

Penemuan itu membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah dan proto sejarah, ribuan tahun dahulu.

Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Azmi Mohd Yusof, berkata penemuan itu adalah penemuan sejarah yang terbaharu, selain penemuan bahan sejarah lain seperti candi Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan

"Ini adalah penemuan terbaharu dari negeri Perlis dan satu penemuan yang amat baik bagi kita untuk merangka kronologi sejarah.

"Daripada lukisan ini, kita dapat lihat lukisan berbentuk binatang seperti lembu, gajah, ular, mawas serta manusia. Kita percaya ia mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi


Lukisan binatang dan manusia ditemui di Gua Semadong. - NSTP/Aizat Sharif
Lukisan binatang dan manusia ditemui di Gua Semadong. - NSTP/Aizat Sharif

Petugas Jabatan Warisan Negara meneliti fosil tulang dan tengkorak manusia dipercayai berusia antara 5,000 tahun hingga 10,000 tahun yang ditemui dalam eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri, Perlis. - NSTP/Aizat Sharif
Petugas Jabatan Warisan Negara meneliti fosil tulang dan tengkorak manusia dipercayai berusia antara 5,000 tahun hingga 10,000 tahun yang ditemui dalam eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri, Perlis. - NSTP/Aizat Sharif

Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis. - NSTP/Aizat Sharif
Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis. - NSTP/Aizat Sharif

"Berdasarkan kajian lalu yang dibuat di sekitar gua di Perlis, kawasan gua di Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu. Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul digunakan sebagai tapak penempatan dan pengkebumian masyarakat paleolitik dan neolitik berdasarkan penemuan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.

"Kita percaya kawasan ini bukan sahaja didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto sejarah berdasarkan artifak seperti kalam semah (votive tablet) yang turut ditemui di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri dan Gua Semadong, di sini, hari ini.

Mohd Azmi berkata, penemuan itu amat penting dalam merangka kronologi sejarah.

"Kita berharap semua masyarakat, sama-sama menjaga warisan ini supaya kita dapat membuat kajian lanjut.

"Apa yang penting sekarang, adalah untuk mewartakan tapak penemuan ini sebagai lokasi sejarah supaya ia tidak diceroboh atau dimusnahkan oleh orang tidak bertanggungjawab," katanya.

bharian/-

Tiada ulasan: