14 Oktober 2021

Lelaki lari hospital, solat tengah jalan

 Gambar rakaman video yang tular mengenai seorang lelaki solat di tengah jalan di Jalan Ipoh berdekatan Taman City, Kuala Lumpur semalam. Foto Ihsan Pembaca

Gambar rakaman video yang tular mengenai seorang lelaki solat di tengah jalan di Jalan Ipoh berdekatan Taman City, Kuala Lumpur semalam. Foto Ihsan Pembaca

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki melaungkan azan dan solat di tengah jalan menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di Jalan Ipoh berhampiran sebuah stesen minyak di Taman City di sini, semalam.

Kejadian pada 3.35 petang itu turut dirakam pengguna jalan raya sebelum video berkenaan tular di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, anggota yang membuat rondaan menerima maklumat berkaitan kesesakan lalu lintas berlaku di Jalan Ipoh sebelum bergegas ke lokasi.

"Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berdiri di tengah jalan sambil melaungkan azan dan bersolat.

"Anggota polis kemudiannya memujuk lelaki itu dan membawanya ke stesen minyak berhampiran untuk menenangkannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksa juga mendapati lelaki itu memakai gelang putih menyerupai gelang hospital.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit adalah pesakit psikiatri yang melarikan diri dari Hospital Selayang.

Katanya, anggota polis kemudiannya menghubungi pihak hospital sebelum lelaki itu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Metro/-


Tiada ulasan: