14 Oktober 2021

Piala Thomas: Malaysia akur kepada Jepun

 Aksi pemain negara, Lee Zii Jia ketika berentap dengan pemain Jepun, Kento Momota dalam acara perseorangan lelaki saingan Piala Thomas bagi Kumpulan D di Aarhus, Denmark. Zii Jia tewas 21-15, 12-21, 21-23. - Foto AFP

Aksi pemain negara, Lee Zii Jia ketika berentap dengan pemain Jepun, Kento Momota dalam acara perseorangan lelaki saingan Piala Thomas bagi Kumpulan D di Aarhus, Denmark. Zii Jia tewas 21-15, 12-21, 21-23. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Malaysia terpaksa akur apabila tewas 1-4 di tangan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala Thomas di Aarhus, Denmark, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad badminton negara terpaksa berpuas hati menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai naib juara manakala Jepun juara dengan kedua-dua pasukan sebelum ini sudah pun mara ke suku akhir.

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia hampir menyumbang mata pertama kepada pasukan apabila dia pada awalnya dilihat berpeluang untuk sekali lagi menewaskan pemain nombor satu dunia, Kento Momota sebelum tewas 21-15, 12-21, 21-23.

"Ia perlawanan yang sukar. Secara keseluruhan saya agak gembira dengan prestasi saya cuma ketika waktu genting saya agak kecewa sedikit terutama ketika mendahului 20-18, ada buat kesilapan mudah.

Kento Momota menewaskan Lee Zii Jia dengan 21-15, 12-21, 21-23. - Foto EPA
Kento Momota menewaskan Lee Zii Jia dengan 21-15, 12-21, 21-23. - Foto EPA

"Ini adalah kali pertama dalam tempoh dua minggu saya menentang lawan yang sama dalam dua kejohanan. Dalam perlawanan ini lebih kepada mental, siapa yang boleh tahan tekanan dan dari aspek mental saya perlu akui saya agak kurang," kata Zii Jia yang sebelum ini menewaskan Momota di Piala Sudirman di Vantaa, Finland.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kembali bergandingan selepas dipisahkan ketika aksi pertama bertemu Kanada, semalam turut mengalami nasib sama apabila tewas di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 13-21, 13-21.

Pasangan beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi. - Foto EPA
Pasangan beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi. - Foto EPA

Jepun memastikan kemenangan awal apabila mengutip mata ketiga menerusi perseorangan lelaki kedua mereka, Kanta Tsuneyama yang menewaskan wakil negara, Cheam June Wei 22-20, 21-13.

Beregu lelaki kedua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut gagal melakar kemenangan apabila mereka tewas kepada Akira Koga-Yuta Watanabe 10-21, 16-21.

Bagaimanapun, perseorangan lelaki ketiga negara, Leong Jun Hao yang turun beraksi buat kali pertama dalam kempen kali ini berjaya mencuri satu mata selepas menewaskan Kenta Nishimoto 21-19, 21-18.

Aksi Cheam June Wei ketika bertemu Kanta Tsuneyama. - Foto EPA
Aksi Cheam June Wei ketika bertemu Kanta Tsuneyama. - Foto EPA

Tiada ulasan: