Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan terpaksa ditangguhkan selepas mendapati beberapa Adun dijangkiti Covid-19.
Speaker DUN Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, selain dua Adun positif, seorang lagi Adun menjadi kontak rapat.
Katanya, penangguhan itu terpaksa dilakukan untuk mengelak penularan Covid-19 kepada orang ramai terutama mereka yang terlibat dengan sidang DUN.
Penangguhan persidangan itu dimaklumkan hari ini selepas Bajet Kelantan 2022 diluluskan tanpa bahas yang dibentangkan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
“Saya mendapat maklumat dua Adun positif Covid-19 iaitu Adun Tanjong Mas, Rohani Ibrahim dan Adun Tendong, Mohd Rozi Muhamad. Manakala Adun Kemuning menjadi kontak rapat kerana anaknya positif.
“Saya terpaksa menangguhkan persidangan DUN dengan lebih awal. Alhamdulillah, kita juga dapat menamatkan sidang DUN hari ini setelah Bajet 2022 diluluskan.
“Apa pun sebarang perkembangan mengenai sidang DUN selepas ini akan dimaklumkan semula bila akan bersambung,” katanya kepada pemberita selepas menangguhkan sidang DUN yang berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Abdullah berkata, sebelum ini semua Adun sudah menjalani ujian swab iaitu dua hari sebelum persidangan DUN bermula dan ketika itu semua negatif.
Mengulas lanjut berkenaan Bajet Kelantan 2022 katanya, ia bagaimanapun diluluskan tanpa bahas, malah disokong sepenuhnya dan tiada sebarang isu berbangkit.
Pada Khamis lau menteri besar membentang Belanjawan Kelantan 2022. Belanjawan bertemakan Kelantan Maju Rakyat Sejahtera itu menyaksikan peningkatan defisit sebanyak RM24.47 juta. – HARAKAHDAILY 5/12/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan