05 Disember 2021

Sindiket judi buat 'siaran langsung' tumpas

 Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari menunjukkan barang rampasan selepas pihaknya  menumpaskan sindiket judi dadu 'live' dalam serbuan di sebuah rumah teres setingkat, di sini 25 November lalu. - FOTO PDRM

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari menunjukkan barang rampasan selepas pihaknya menumpaskan sindiket judi dadu 'live' dalam serbuan di sebuah rumah teres setingkat, di sini 25 November lalu. - FOTO PDRM

SUNGAI PETANI: Polis menumpaskan satu sindiket yang menawarkan pertaruhan judi dadu secara 'langsung' melalui aplikasi WeChat dalam serbuan di sebuah rumah teres satu tingkat, di sini pada 25 November lalu.

Dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada jam 6.0 petang, 13 individu termasuk tiga remaja bawah umur dan seorang warga emas ditahan ketika sedang leka dengan aktiviti pertaruhan judi dadu secara langsung terbabit.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata siasatan mendapati sindiket judi berkenaan baru dua bulan beroperasi dengan berjaya mengaut pertaruhan yang dianggarkan mencecah RM10,000 hingga RM15,000 sehari.

Beliau berkata, sindiket itu dikesan menggunakan taktik terbaru dan ini kali pertama polis menemui kegiatan seumpama itu di negeri ini yang menggunakan modus operandi menjalankan aktiviti judi dadu secara langsung.

"Kita dapati sindiket menggunakan 'pekerja' sendiri dan mereka dikesan akan berpindah sekiranya mengetahui kegiatan dilakukan dikesan polis .

"Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui cara sindiket ini beroperasi," katanya pada sidang media, hari ini.

Mohd Roze berkata, semua individu yang ditahan berusia 16 hingga 68 tahun itu terdiri daripada 10 lelaki dan tiga perempuan dan mereka kini direman selama empat hari manakala remaja bawah umur pula direman selama sehari.

"Kita juga sedang mengesan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang dipercayai penganjur aktiviti pertaruhan judi terbabit.

"Siasatan awal kita juga mendapati sindiket akan meneruskan aktiviti secara langsung sekiranya ada pertaruhan yang dibuat pelanggan dan ini agak berbeza jika dibandingkan dengan judi atas talian yang kita lihat sebelum ini," katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan pertaruhan judi dadu terbabit termasuk papan, modem, router dan peralatan telekomunikasi lain yang digunakan sindiket.

bharian.

Tiada ulasan: