05 Disember 2021

SPR benar kempen fizikal dua jam, tak lebih 10 malam

 

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan kempen fizikal selama dua jam sehari dan tidak melebihi pukul 10 malam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) itu dimuat naik SPR petang ini, kurang 24 jam sebelum kempen selama 12 hari bermula sebaik sahaja selesai hari penamaan calon esok.

SOP itu berbeza dengan dikeluarkan pada PRN Melaka sebelum ini yang melarang sebarang aktiviti ceramah dan berkumpul secara fizikal serta jelajah mesra.

SOP SPR untuk pencegahan Covid-19 PRN12 Sarawak itu bagaimanapun menyatakan bahawa kebenaran kempen fizikal itu hanya terpakai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mempunyai capaian internet tinggi.

Di luar keadaan itu, penganjuran kempen fizikal sepanjang tempoh pilihan raya hingga hari pengundian 18 Disember masih tidak dibenarkan.

Antara lain, penganjur perlu mendapatkan permit dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ceramah fizikal diadakan sementara tarikh, masa dan tempat ceramah pula hendaklah dinyatakan dalam permit itu untuk memudahkan pihak berkuasa membuat pemantauan.

“Sebarang ceramah di premis-premis terbuka atau tempat umum dilarang selain mengenal pasti lokasi tertutup seperti dewan, balai raya atau ruai di dalam rumah panjang bagi pengawalan kehadiran peserta.

“Peserta yang menghadiri ceramah dihadkan kepada penduduk di dalam sesuatu kampung atau rumah panjang itu sahaja. Parti-parti atau calon yang bertanding bertanggungjawab memastikan penduduk luar dari kampung atau rumah panjang tersebut tidak hadir ceramah yang dianjurkan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, bagi jentera pilihan raya untuk parti-parti politik dan calon-calon pilihan raya, aktiviti berkempen yang dibenarkan adalah terhad di dalam kawasan bahagian pilihan raya DUN masing-masing dan tidak dibenarkan merentas DUN lain.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada parti-parti politik yang bertanding untuk mengemukakan 15 orang nama pemimpin kanan setiap parti yang bertanding bagi tujuan merentas DUN kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) dan SPR.

“Hanya lima orang (maksimum) pemimpin parti kanan termasuk pegawai yang mengiring/pengawal/pemandu (tidak termausk calon dan ejen pilihan raya) bagi setiap parti politik yang bertanding dibenarkan merentas DUN bagi tujuan berkempen pada satu-satu lokasi dan masa dan lengkap divaksinasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: