05 Disember 2021

RM8.8 juta baiki rumah nelayan miskin di Kelantan

 

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

BACHOK: 
Sebanyak RM8.8 juta diperuntukan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membaik pulih rumah nelayan yang dikategorikan miskin di Kelantan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sebanyak 949 rumah dibaiki dan dibina sehingga kini.


Katanya, bantuan itu membabitkan tiga kategori iaitu membina baru, baik pulih dan mewujudkan penempatan semula nelayan (PSN)

Menurut beliau peruntukan tersebut sebahagian daripada lebih RM211 juta disediakan kerajaan untuk memberi manfaat 20,084 nelayan di seluruh negara.

“Nilai bantuan maksima kepada nelayan terbabit sebanyak RM13,000 bagi baik pulih rumah dan RM56,000 untuk membina rumah baru.

“Mereka membabitkan nelayan di jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Baik Pulih Rumah Nelayan dan Sumbangan MAFI Prihatin Nelayan dan Petani di Tawang semalam.

Sebelum itu Dr Zawawi dan 30 ahli Persatuan Nelayan Bachok dan pegawai LKIM mengadakan gotong-royong mengecat rumah seorang nelayan Mohamad Mazuan Mahasan, 38 berhampiran Bandar Bachok.

Sementara itu, Mohamad Mazuan ketika ditemui berkata, beliau tidak menduga turut disenaraikan mendapat bantuan membaik pulih rumahnya yang usang, dibina sejak 30 tahun lepas.

Katanya beliau dan keluarga terpaksa tinggal di rumah berkenaan yang rosak dinding, lantai dan bocor atap.

Menurutnya pendapatan sekadar bergantung hasil tangkapan ikan tidak mampu bagi membaikpulih rumah tersebut.

“Saya bersyukur dapat berteduh bersama keluarga dalam keadaan lebih selesa terutamanya pada musim tengkujuh sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2021

Tiada ulasan: