JAKARTA – Wakil pegawai daerah Lumajang, Indah Masdar memaklumkan bahawa 41 mangsa melecur teruk terkena lahar panas susulan letusan Gunung Semeru di Jawa Timur semalam, lapor laman berita Merdeka.com.
“Ada kira-kira 41 orang parah disebabkan terkena lahar panas.Mereka dipindahkan ke Pusat Kesihatan Penanggal,” kata Indah pada sidang media di Youtube bersama Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) semalam.
Mangsa yang parah telah dirujuk ke Hospital Besar Dr. Haryoto, Hospital Bhayangkara dan Hospital Pasirian di daerah Lumajang serta Pusat Kesihatan Candipuro.
‘’Tujuh mangsa sedang dirawat di Pusat Kesihatan Candipuro, 10 mangsa termasuk dua wanita hamil dengan usia kehamilan masing-masing sembilan dan lapan bulan kehamilan turut dirawat di Pusat Kesihatan Penanggal,’’ katanya.
Sebelum ini, seorang mangsa telah dilaporkan terkorban di daerah sekitar Curah Kobokan Kecamatan Pronojiwo, Lumajang, Jawa Timur.
Jenazah mangsa telah dipindahkan menggunakan ambulans.
Sehingga kini, seorang penduduk dilaporkan meninggal dunia, dua orang hilang, lapan hingga sepuluh orang masih terperangkap, 70 orang dikejarkan ke pusat kesihatan masyarakat dan 300 keluarga dipindahkan ke lokasi lebih selamat.
Sementara itu, kerosakan dan kehilangan harta benda masih dalam proses pengumpulan data selanjutnya. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan