05 Disember 2021

NGO bina wad ‘persinggahan’ pesakit Covid-19

 

NGO bina wad ‘persinggahan’ pesakit Covid-19.

SEBERANG PERAI – Sebuah wad persinggahan pesakit Covid-19 yang menempatkan 15 katil dibina di Hospital Kepala Batas (HKB) di sini bagi memberi keselesaan kepada pesakit ketika menunggu untuk memasuki wad.

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, inisiatif hasil kerjasama lima badan bukan kerajaan (NGO) membabitkan kos RM100,000 itu adalah bagi memberi keselesaan kepada pesakit yang perlu menunggu.

Menurutnya, pembinaan wad sementara yang pertama seumpamanya dikenali sebagai wad unit penempatan sementara (SSU) di atas kawasan padang permainan itu dibina melalui hasil sumbangan dan wakaf.

“Suatu ketika kita sedih tengok ada pesakit Covid-19 terpaksa duduk di koridor dalam keadaan tengah panas semasa menunggu kerana sebelum ini hanya boleh menempatkan seorang pesakit.

“Ada beberapa hospital lain yang ingin (minta) kita bina wad seumpamanya dan kita juga merancang untuk mengembangkannya ke hospital-hospital lain nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Wakaf Short Stay Unit Jabatan Trauma dan Kecemasan yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad di HKB di sini.

Sementara itu, Zulkifli menambah, struktur wad SSU yang dibina di dalam sebuah kabin itu turut menempatkan peralatan perubatan yang lengkap termasuk katil.

“Ia boleh menempatkan 15 pesakit dalam satu masa selain dilengkapi tandas, pendingin hawa dan peralatan perubatan.

“Bila habis Covid-19 wad SSU itu juga boleh digunakan sebagai wad tambahan untuk menampung sedikit sebanyak kekurangan lain,” katanya lagi.

Antara NGO yang terlibat dalam pembinaan wad tersebut ialah Khidmat Malaysia, Muslim Care Malaysia, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Pulau Pinang dan Ummah Pulau Pinang. – K! ONLINE

Tiada ulasan: