JEDDAH: Semua warga dan penduduk Arab Saudi diwajibkan mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 bermula 1 Februari tahun depan, lapor agensi berita Saudi Gazette, memetik satu sumber rasmi kerajaan.
Menurut laman web agensi berita itu, sumber dari Kementerian Ehwal Dalam Negeri mendedahkan dos penggalak itu diperlukan untuk penduduk mendapatkan status 'imun' di aplikasi Tawakkalna.
Saudi Gazette melaporkan, sumber itu menjelaskan bahawa suntikan penggalak akan diwajibkan lapan bulan selepas seseorang mendapatkan dos kedua vaksin.
Status 'imun' diperlukan bagi sesiapa yang ingin menghadiri sebarang acara sosial, ekonomi, komersil, kebudayaan, hiburan atau sukan di negara itu.
Arab Saudi Jumaat lalu melaporkan 38 jangkitan baru COVID-19 dengan satu lagi kematian akibat komplikasi disebabkan coronavirus itu.
Ini membawa jumlah jangkitan keseluruhan kepada lebih 549,800 dan angka kematian setakat ini sebanyak 8,840. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan