05 Disember 2021

PRN Sarawak: 10 fakta menarik tentang PAS

 

Oleh DR NAJAHUDIN LATEH

PAS akan bertanding satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember 2021, iaitu di N.29 DUN Beting Maro melalui calon Mohammad Arifiriazul Paijo.

Berikut adalah 10 fakta menarik tentang penyertaan PAS dalam PRN tersebut.

1. PAS Sarawak secara rasmi ditubuhkan pada 22 September 1996 dan ketika mula bertanding pada PRN kelapan pada tahun 2001. PAS hanya mempunyai satu kawasan berdaftar, iaitu Petra Jaya dan dua kawasan tidak berdaftar dengan jumlah ahli sekitar 1,000 orang.

2. N.21 Beting Maro (ditukar kepada N.24 dan kini N.29) wujud menggantikan DUN Beladin mulai PRN 1996 dengan calon Bebas, Haji Ali Husain Sain mendapat undi signifikan sebanyak 1,506 dan tewas satu lawan satu dengan majoriti 2,230 undi.

3. Beting Maro satu-satunya DUN yang PAS konsisten bertanding sejak tahun 2001, iaitu di tiga DUN pada ketika itu (N.07 Samariang, N.18 Sadong Jaya dan N.21 Beting Maro); tahun 2006 di satu DUN (N.24 Beting Maro); tahun 2011 di lima DUN (N.03 Tanjung Datu, N.15 Muara Tuang, N.20 Sadong Jaya, N22 Sebuyau dan N.24 Beting Maro); tahun 2016 di 11 DUN (N.4 Pantai Damai, N.7 Samariang, N.16 Muara Tuang, N.24 Sadong Jaya, N.27 Sebuyau, N.29 Beting Maro, N.60 Kakus, N.67 Jepak, N.70 Samalaju, N.72 Lambir dan N.74 Pujut) dan tahun ini dengan satu kerusi di N.29 Beting Maro.

4. PAS mula bertanding di DUN Beting Maro pada 2001 dan tidak pernah hilang deposit di situ, malah mendapat undi yang meningkat setiap kali PRN diadakan.

5. Parti PAN hilang deposit di DUN Beting Maro dalam PRN 2016 dengan hanya mendapat 103 undi, malah turut ‘tewas’ dengan undi rosak sebanyak 104 undi dan PAS ketika itu menurunkan calon muslimat, Hamidah Mokhtar.

6. PAS memperolehi 2,678 undi atau 46.6 peratus pada PRN 2011 dan hanya tewas dengan majoriti 391 undi, sementara dalam PRN 2006 sebelum itu hanya tewas dengan majoriti 895 undi.

7. PAS mendapat pertambahan undi dengan graf menaik setiap kali PRN di DUN Beting Maro, iaitu mendapat 1,399 undi pada tahun 2001 dan kemudian meningkat kepada 1,901 (2006), 2,678 (2011) dan 3,051 undi (2016).

8. Calon PAS di N.29 Beting Maro kali ini ialah Mohammad Arifiriazul yang juga Setiausaha PAS Sarawak, seorang anak muda berumur 37 tahun dan bergraduan daripada Universiti Teknologi Petronas dalam Sistem Maklumat Perniagaan.

9. PBB (GPS) menurunkan calon yang sama sejak dua penggal lalu dalam PRN 2011 sementara PAN yang hilang deposit pada PRN 2016 dijangka tidak bertanding sebaliknya diganti oleh pemangku Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh.

10. Sejak menyertai pilihan raya di Sarawak 20 tahun lepas, PAS menggunakan logonya sendiri, termasuklah dalam PRN 2021 ini kerana parti-parti muafakatnya dalam BN dan PN tidak bertanding. – HARAKAHDAILY 5/12/2021

Tiada ulasan: