05 Disember 2021

Piagam Muafakat Nasional terbuka terima parti lain, NGO

 

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR:
 PAS tetap dengan pendirian bahawa Piagam Muafakat Nasional yang dipersetujui oleh parti itu dan adalah piagam yang terbuka untuk menerima parti-parti lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi menyatukan umat Islam di negara ini.


Justeru, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu terbuka untuk membenarkan parti lain, atau sebarang NGO menyertai Muafakat Nasional (MN) seperti yang tertulis dalam piagam Muafakat Nasional.

Malangnya, apabila tiba di peringkat pelaksanaan, pimpinan Umno hanya mahu PAS dan Umno membentuk jalinan muafakat itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Mahabbah Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor, di Larut, hari ini. Rakaman video sidang media itu dimuat naik menerusi laman Facebook beliau.

Hadir sama pada majlis yang dianjurkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Larut dan Pusat Khidmat DUN Selama itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin.

“Semasa kita tubuhkan Muafakat Nasional, kita tubuhkan piagam, dalam perjanjian itu kita menerima parti-parti lain termasuk Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional, termasuk mana-mana NGO boleh masuk Muafakat Nasional, kita bersetuju, dan ditulis di dalam piagam, rujuk balik piagam itu.

“Tetapi malangnya apabila sampai peringkat pelaksanaan, terdapat dalam kalangan pimpinan Umno hanya mahu PAS dengan Umno, itu sudah lari daripada perjanjian, sepatutnya kita pegang pada perjanjian,” katanya.

Tambah Tuan Guru Abdul Hadi lagi, PAS tidak boleh diarah sedemikian memandang ia adalah parti sendiri dan bukan berada di bawah Barisan Nasional. – HARAKAHDAILY 4/12/2021

Tiada ulasan: