05 Disember 2021

Lebih 7,000 peserta FELCRA Sarawak terima durian runtuh

 Foto fail NSTP

Foto fail NSTP

KOTA SAMARAHAN: Seramai 7,477 peserta FELCRA di Sarawak menerima durian runtuh menerusi agihan keuntungan FELCRA Berhad.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata agihan keuntungan berjumlah RM31.6 juta itu bagi tempoh Interim 1 dan 2 tahun 2021.

"Saya mengucapkan tahniah kepada FELCRA dan juga peserta khususnya di Wilayah Sarawak hari ini atas penerimaan keuntungan yang dikongsikan.

"Ini menandakan usaha pemulihan ekonomi terus dipergiatkan dan berada di landasan yan tepat di mana FELCRA berjaya menyalurkan agihan keuntungan yang lebih tinggi kepada peserta," katanya pada sidang media selepas majlis kesyukuran peserta FELCRA Wilayah Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah; Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Awang dan Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mahdzir berkata, FELCRA akan terus memperkasakan kegiatan perladangannya bagi memastikan semua pesertanya mendapat manfaat yang maksimum.

Berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), FELCRA Berhad mensasarkan untuk membuka lebih 1,000 hektar ladang baharu di Sarawak.

Ia sekali gus bakal mewujudkan peluang dan manfaat kepada hampir 700 peserta baharu di negeri ini.

"Berpaksikan dua teras utama iaitu Menstruktur Semua Ekonomi Negara dan Mempertingkat Infrastruktur secara Menyeluruh, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menekankan pemerkasaan program sosio-ekonomi demi mewujudkan suasana kehidupan luar bandar yang lebih sejahtera," katanya.

Kerajaan juga katanya, sudah meluluskan peruntukan pembangunan ameniti sosial di Sarawak kepada FELCRA Berhad berjumlah RM1.77 juta.

Ia merangkumi projek bagi peruntukan tahun 2021 sebanyak RM770,000 dan RM1 juta bagi tahun 2022.

"KPLB terus komited dalam melaksanakan projek infrastruktur jalan raya, bekalan air, elektrik, kemudahan pendidikan dan kesihatan, ameniti sosial serta capaian internet melalui agensi pelaksana seperti FELCRA dan agensi lain di bawah seliaannya," katanya.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 100 pelajar golongan B40 serta bantuan bakul makanan kepada 100 keluarga FELCRA.

BHARIAN.

Tiada ulasan: