21 Disember 2021

31 warga asing dicekup ceroboh Mydin

 

SHAH ALAM: Seramai 31 warga asing dicekup bagi membantu siasatan kes pecah dan ceroboh pasar raya Mydin di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, penahanan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan.

“Kesemua suspek terdiri daripada 10 warga Indonesia, Nepal (9), Bangladesh (7) dan Myanmar (5).

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jelas beliau, pihaknya meletakkan elemen pencegahan jenayah di semua kawasan yang terjejas akibat banjir.

Justeru, Baharudin menasihatkan orang ramai di kawasan banjir supaya tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Polis akan mengambil tindakan tegas atas setiap kesalahan jenayah yang dilakukan,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan beberapa kejadian pecah kedai serbaneka di sekitar taman berkenaan yang berlaku berlaku antara pukul 1 hingga 2 petang.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin hari ini menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan itu dengan niat meneruskan kelangsungan hidup.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 11 saat di media sosial yang memaparkan mengenai kejadian tersebut.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan individu yang terpaksa memecah masuk beberapa kedai kerana kehabisan bekalan makanan akibat terkandas banjir teruk.

UTUSAN.

Tiada ulasan: