21 Disember 2021

Pelantikan Azman Mokhtar tepat pada masa

 

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: 
Pelantikan Tan Sri Azman Mokhtar sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji dianggap tepat pada masanya sesuai dengan kelayakan dan kebolehannya.


Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, perkara itu yang sepatutnya dibuat sesebuah kerajaan.

“Biar golongan profesional yang menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terutamanya Tabung Haji (TH).

“Kita harap selepas ini, TH akan bertambah maju ke hadapan tanpa perlu campur tangan orang politik, ini yang paling penting,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad mengumumkan pelantika Azman sebagai Pengerusi Baru Lembaga Tabung Haji.

Azman merupakan merupakan bekas Pengarah Urusan Khazanah Holding pemegang Master of Philosophy in Development Studies dariDarwin College, Cambridge University dan Diploma di dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Di samping itu, beliau juga akauntan bertauliah Fellow of the Association of Chartered and Certified Accountants (ACCA) dan Chartered Financial Analyst (CFA).

Dr Rusdi juga berkata, berdasar kepada latar belakang Azman memang tidak dinafikan lagi beliau seorang yang arif dalam hal ehwal pengurusan organisasi.

“Bukan hanya TH, jika boleh semua GLC diuruskan oleh golongan teknokrat yang tiada kepentingan kepada mana-mana parti.

“Boleh jika mahu lantik orang politik, tetapi masalahnya kebanyakan mereka akan ada kepentingan terhadap parti masing-masing,” ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau golongan teknokrat jangan memikirkan mengenai keuntungan semata-mata, namun dalam masa yang sama perlu menjaga kebajikan penabung.

Menurutnya juga kebanyakan orang yang menabung dalam TH merupakan penduduk miskin yang tidak mampu untuk menunaikan ibadah haji dengan bayaran sekaligus.

“Naluri empati juga perlu disemai dalam pengurusan GLC, maknanya mereka juga perlu mendengar luahan dan kesulitan terutamanya yang mahu menunaikan ibadah haji.

“Jangan pula selepas ini, kos untuk pergi haji melambung tinggi khasnya kepada golongan yang tidak mampu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

Tiada ulasan: