21 Disember 2021

Laluan LPT 1 berdekatan Bentong, Karak, Lanchang dan Temerloh masih ditutup

PEMANDANGAN laluan Lebuh Raya Pantai Timur masih dilimpahi air berikutan banjir berdekatan Lanchang di Temeroh, Pahang. - GAMBAR IHSAN ANIH BERHAD

KUANTAN: Syarikat konsesi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad masih menutup beberapa laluan di KLK berdekatan Bentong, Karak dan Temerloh dekat sini berikutan banjir belum surut pada pukul 9 pagi hari ini.

Pengurus Besar Kanan Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd. Radzi berkata, lokasi berkenaan, iaitu Jalan Lanchang ke Temerloh di kilometer (KM) 112.2, KM 113, KM 114.8 hingga KM 115, KM 116.2 hingga KM 117.7 kerana trend air menaik di kedua-dua arah, manakala di KM124 laluan antara Temerloh ke Chenor banjir berlaku di lorong kecemasan berikutan kenaikan paras air.


“Bagi laluan antara Karak ke Temerloh di KM 76 hingga KM 126 masih ditutup kedua-dua hala kepada semua jenis kenderaan berikutan air belum surut.

“Kita juga ingin memberitahu beberapa laluan dari Karak menghala ke Kuala Lumpur juga masih ditutup berikutan berlaku kejadian lubang dalam serta serpihan kayu dan batu akibat banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Radzimah, laluan berkenaan, iaitu di KM 74.9 menghala ke Kuala Lumpur walaupun banjir surut tetapi berlaku kejadian lubang dalam di sebelah lorong kiri, manakala di KM 74.4, KM 71 kedua-dua hala ke Bentong juga ditutup untuk laluan semua jenis kenderaan.

“Penutupan berkenaan juga melibatkan laluan di KM 69.5 dan KM 67.8 menghala Bentong dan Kuala Lumpur kerana berlaku kejadian aliran serpihan kayu dan batu (debris flow),” katanya.

Tiada ulasan: