21 Disember 2021

Sembilan lemas akibat banjir di Shah Alam

 Orang ramai bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bekerjasama untuk mengeluarkan mangsa banjir di sebuah taman perumahan di Bukit Kemuning. - Foto BERNAMA

Orang ramai bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bekerjasama untuk mengeluarkan mangsa banjir di sebuah taman perumahan di Bukit Kemuning. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Angka terkini mangsa disahkan lemas akibat banjir di Shah Alam meningkat kepada sembilan orang sehingga awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata seramai dua mangsa dijumpai pada Ahad, manakala tujuh lagi mangsa dijumpai semalam.

"Keseluruhan angka kematian membabitkan lemas adalah seramai sembilan orang, tiga daripadanya adalah wanita manakala baki enam adalah lelaki.

"Dua daripada tiga wanita itu adalah warga tempatan dan seorang lagi belum dapat dikenal pasti.

"Tiga daripada enam mangsa lemas lelaki belum pasti identiti, dua warga tempatan serta seorang warganegara India," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baharudin berkata, mangsa ditemui pada Ahad lalu adalah lelaki warganegara India ditemui di lampu isyarat Kemuning Utama Seksyen 33 pada 4.15 petang.

Beliau berkata, pada 8.03 minit malam hari sama, mayat seorang lelaki ditemui di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman Seksyen 22.

"Semalam, mangsa pertama ditemui pada 12.39 pagi adalah satu lelaki tidak pasti identiti dan bangsa di Pekan Sri Muda.

"Pada 5.17 pagi pula, satu mangsa perempuan tidak pasti identiti ditemui di perumahan Persiaran Budiman.

"Kemudian, pada 8 pagi, mayat satu lelaki tidak diketahui bangsa ditemui di Subtek Bencana, Seksyen 25," katanya.

Beliau berkata, pada 9.39 pagi, mayat seorang lelaki ditemui di dalam longkang di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13.

Menurutnya, dua mangsa perempuan pula ditemui di rumah teres Seksyen 25 pada 4 petang, manakala mayat terakhir semalam adalah satu lelaki di Subtek Bencana Seksyen 25 pada 7.40 malam.

"Polis menggesa dan menasihatkan semua lapisan masyarakat supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga.

"Pada masa sama, masyarakat dinasihatkan sentiasa siap siaga menghadapi segala kemungkinan akibat banjir.

"Kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan banjir atau penemuan mayat mangsa banjir, ke Bilik Gerakan IPD Shah Alam di talian 03-55202000/ 03-55202022 untuk tindakan lanjut," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: