21 Disember 2021

‘Saya halalkan mereka dengan niat teruskan kelangsungan hidup’

 

KUALA LUMPUR: Pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) Datuk Dr Ameer Ali Mydin menghalalkan perbuatan mereka yang memecah masuk di premis MYDIN Mart ekoran bantuan yang lambat tiba sewaktu banjir teruk baharu-baharu ini.


Dalam satu kenyataan maklum balas mengenai insiden pecah masuk premis MYDIN Mart, Sri Muda, Shah Alam yang hangat dibincangkan di media sosial dan media tempatan, beliau amat tersentuh dan simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda terutamanya ketika negara masih bergelut dengan wabak Covid-19.

“Sejujurnya, saya tidak menyokong perbuatan mencuri tersebut, namun dalam keadaan darurat, mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.

“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” jelasnya.

Cawangan MYDIN Mart, Sri Muda turut musnah akibat banjir pada 18 Dis, 2021 dan mengakibatkan kerugian melebihi jutaan ringgit. – BERNAMA

Tiada ulasan: