10 Mei 2012

Panel Bersih 3.0: Hanif wajar undur cara terhormat

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menolak sekeras-kerasnya perlantikan Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel bebas bagi menyiasat dakwaan insiden kekasaran dan keganasan pihak polis terhadap peserta himpunan aman Bersih 3.0 baru-baru ini.

Perlantikan beliau dan 5 orang lagi ahli panel diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin semalam.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Hanif bukanlah orang yang paling sesuai untuk mengetuai panel itu.

“Ini disebabkan beliau sendiri merupakan mantan Ketua Polis Negara dan berkemungkinan berlaku ‘bias’ terhadap sesi siasatan bebas tersebut,” kata Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya Hanif juga telah berlaku ‘bias’ apabila menyokong kenyataan pihak kerajaan yang mengatakan ada unsur-unsur untuk menggulingkan kerajaan di dalam himpunan Bersih 3.0.

Hasbullah berkata, pihaknya berpandangan panel siasatan itu sudah pasti tidak akan menemukan sebarang unsur-unsur keganasan daripada pihak polis di dalam menangani peserta Bersih 3.0 kerana pengerusi panel sudah dilihat tidak bebas dan terlalu memihak kepada kerajaan.

Maka, ujarnya skrip jawaban panel siasatan sudah dapat diagak dengan tindakan pihak polis untuk melakukan provokasi, memukul dan menangkap peserta Bersih 3.0 adalah menurut prosedur yang betul.

Oleh itu, kata beliau Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta Hanif untuk mengundurkan diri secara terhormat daripada mengetuai panel bebas itu dan pihak kerajaan diminta untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang lebih telus untuk menyelesaikan permasalahan itu.

“Oleh kerana sikap tidak serius dan berlepas tangan pihak kerajaanlah maka orang-orang seperti Tun Hanif dilantik untuk mengetuai panel ini walaupun beliau merupakan orang yang bermasalah,” ujarnya.

Harakah Daily

1 ulasan:

Abu Tausi berkata...

Pada pendapat saya, perlantikan Tun Hanif Omar memang sengaja dibuat 'untuk membeli masa'.

Sekarang isu asal telah berpecah sana sini. Tumpuan kepada perlantikan Tun Hanif Omar pula. Pembangkang kena tipu sekali lagi. Suruhanjaya Diraja tak perlu. Fokus kepada Suhakam.

Tolonglah peminpin pakatan rakyat.