JAKARTA — Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menemui serpihan pesawat awam Sukhoi Superjet-100 yang dilaporkan hilang petang semalam bersama 50 penumpangnya.
Bagaimanapun, nasib para penumpang itu masih belum diketahui.
Serpihan pesawat itu dikesan dari helikopter di kawasan Gunung Salak, kata Ketua Penyelaras Pusat Operasi Utama di Taman Nasional Gunung Halimun Salak, Ketut Purwa.
Pengesahan mengenai penemuan itu disampaikan oleh pasukan penyelamat yang meninjau dari sebuah helikopter Super Puma bahawa mereka telah melihat secara fizikal serpihan itu dari ketinggian 2,500 kaki.
Helikopter milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Udara (AU) itu dikerah untuk membantu mencari pesawat Shukoi yang hilang di kawasan Gunung Salak.
Sementara itu, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dalam kenyataan akhbar di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta meminta pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan rapi terhadap kejadian itu untuk mengetahui puncanya.
Beliau telah meminta pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi itu supaya mengutamakan usaha menyelamat para penumpang. — BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan