18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
SAN FRANCISCO: Yahoo merancang mewujudkan satu jawatankuasa khas dibantu seorang peguam dari luar syarikat itu bagi mengkaji semula kontroversi kesilapan catatan biografi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Scott Thompson ketika perkara itu menjadi sebab pihak tertentu memberi tekanan ke firma berkenaan.
Lembaga Pengarah Yahoo menyatakan, pihaknya akan mengkaji latar belakang akademik Thompson selain apa yang diketahui orang yang mengambilnya menjadi CEO.
Minggu lalu, Yahoo mengakui kesilapan tidak disengajakan dalam biografi online CEO yang menyatakan beliau memiliki ijazah sains komputer sedangkan itu tidak benar.
Langkah mewujudkan jawatankuasa khas itu disiarkan sehari selepas sebuah dana lindung nilai menggesa dokumen pengambilan kerja Thompson disiarkan dalam satu aduan kepada pihak berkuasa.
Dana Third point memfailkan aduan itu kepada Suruhanjaya Bursa Saham (SEC) selepas desakannya supaya Thompson dipecat kerana menokok tambah rekod pendidikannya melepasi tempoh akhir yang diberikannya.
Third Point yang memiliki 5.8 peratus ekuiti gergasi teknologi itu turut mengemukakan beberapa calonnya untuk menjadi ahli Lembaga Pengarah Yahoo yang dianggap satu serangan terhadap pengurusan.
Jawatankuasa khas itu dipengerusikan oleh Alfred Amoroso, seorang pengarah bebas Yahoo dan mengekalkan perunding bebas, Terry Bird, sebagai penasihat.
Bird adalah peguam dari Los Angeles yang pakar dalam saman dan siasatan dalaman.
“Jawatankuasa khas dan Lembaga Pengarah akur kepada kehendak semasa dan akan menjalankan siasatan bebas secara menyeluruh.
“Lembaga Pengarah akan membuat pendedahan sewajarnya kepada pemegang saham selepas kajian semula tamat,” menurut kenyataan Yahoo.
Yahoo juga mengumumkan, ahli bebas Lembaga Pengarah, Patti Hart memutuskan untuk tidak bertanding semula apabila mesyuarat pemegang saham bersidang. Hart juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat peralatan komputer, International Game Technology.
Hart turut menjadi sasaran Third Point yang menuduhnya menokok tambah pencapaian akademiknya.
Third Point menuduh syarikat berkenaan tidak menjelaskan bagaimana Jawatankuasa Kerja yang mengambil Thompson sebagai CEO tidak memeriksa rekod pemohon yang dikatakan pasti menunjukkan beliau tidak memiliki ijazah sains komputer. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan