10 Mei 2012

Lapan samseng serang pusat perubatan

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH - Sekumpulan lelaki dipercayai samseng bertindak menyerang sebuah pusat perubatan swasta di sini bertujuan untuk mencari seorang lelaki berikutan perselisihan faham yang berlaku antara kedua-dua pihak terbabit.

Berikutan itu, seramai 200 pesakit, kakitangan dan orang awam yang berada di pusat perubatan berkenaan panik, bagaimanapun bertindak mendiamkan diri kerana tidak mahu menimbulkan kemarahan kumpulan tersebut.

Sekumpulan lapan orang berusia antara 20 ke 30 tahun itu dipercayai cuba menyerang mangsa yang berusia 30 tahun yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Difahamkan perkara itu terjadi akibat pergaduhan antara suspek dan salah seorang ahli kumpulan terbabit di sebuah pusat hiburan di sini.

Bagaimanapun, serangan itu berjaya dileraikan dengan tindakan pantas pengawal keselamatan yang mengawal keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan polis sedang menyiasat motif kumpulan berkenaan.

“Kami sudah menerima laporan membabitkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

"Kami juga meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk dijadikan bahan bukti bagi kes tersebut.

“Berdasarkan rakaman CCTV polis tidak melihat sebarang senjata yang dibawa oleh kumpulan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, tiada pesakit atau orang awam yang mengalami kecederaan manakala tiada laporan membabitkan jumlah kerugian besar yang dialami pihak hospital.

Kes disiasat di bahawa Kanun Keseksaan 147 kerana rusuhan dan polis masih meneruskan siasatan berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: