10 Mei 2012

Warga emas kena penjara

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan menyamun seorang lelaki, dua tahun lalu.

Chong See Lai, 52, dari Taman Rasah Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah pada hari perbicaraan yang ditetapkan, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, See Lai bersama seorang lagi yang masih bebas didapati melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pisau ke atas seorang lelaki, Lee Chin Boon, 32, dan mencuri dua kad kredit EON Bank, satu kad kredit Public Bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM600 hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1,200 terhadap mangsa.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai di Jalan Melaka Raya 24, Taman Melaka Raya kira-kira jam 9 pagi pada 8 Mac 2010.

See Lai didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, See Lai merayu kepada mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana mempunyai seorang anak yang masih bersekolah dan perlu menanggung keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat meminta mahkamah memberikan hukuman berat terhadap tertuduh yang merompak menggunakan senjata dan menyebabkan kerugian yang tidak dapat dikembalikan kepada mangsa.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman empat tahun bermula daripada tarikh tangkapan pada 17 Februari 2011.

Sinar Harian

Tiada ulasan: