10 Mei 2012

Anggota polis bunuh rakan sekerja didakwa

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat Lans Korporal hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya bulan lepas.

Rosli Abu Hasan, 25, dituduh membunuh Konstabel Mohd. Sobri Mohd. Sidek, 22, di pintu masuk utama Istana Anak Bukit di sini kira-kira pukul 5.45 petang pada 26 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd. Azhar Hamzah. Tiada sebarang pengakuan dicatatkan daripada tertuduh.

Peguam P. Ashokumar yang mewakili tertuduh memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dibenarkan untuk dijamin bagi membolehkannya menjalani rawatan mental.

Permohonan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Ayu Rohaiza Khazali kerana kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada asasnya tidak boleh dijamin dan jika mahu membuat permohonan, ia perlu dilakukan di peringkat mahkamah lebih tinggi dan bukan di mahkamah rendah.

Ayu Rohaiza bersetuju supaya tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Mohd. Azhar membenarkan permohonan untuk tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri tetapi tidak membenarkannya dijamin.

Beliau kemudiannya menetapkan 10 Jun untuk sebutan kes. - BERNAMA

3 ulasan:

Awanama berkata...

klu betul suspek ada masalah mental,mcm mn yea?

Awanama berkata...

klu benar suspek mengalami masalah mental,mcm mn yea?

Awanama berkata...

mental tu kena tgk juga mental masa kejadian je atau mmg ada sejarah mental. pakar akn buat penilaian tp mental ni ada layak dibicara dan tak layak. klu kena bicara, kene reman sampai jatuh hukum. mkn masa juga dari majistret court nk ke high court..kene tnjuk bukti semualh..tp klu confirm mmg mental,mgkin dok mental hspital smpai ok.