10 Mei 2012

Penganggur miliki dadah mengaku sakit mental

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang penganggur yang berdepan tuduhan memiliki dadah, Februari lalu, mengaku sakit mental dan menggunakan dadah itu sebagai ubat untuk meredakan penyakitnya.

Alasan itu bagaimanapun gagal mengelak Azlim Ismail, 37, dari dihukum apabila dia dikenakan denda RM2,000 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly selepas tertuduh mengaku bersalah dan gagal mengemukakan laporan perubatan berhubung dakwaan penyakitnya itu.

Azlim bersalah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 1.6 gram dadah apo-diazepam di tepi Jalan Kampung Paya Rawa, Dewan Beta di sini pada jam 6.40 pagi, 27 Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, 16 pil itu dijumpai dalam beg pinggang milik tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sinar Harian

Tiada ulasan: