01 Jun 2012

22 pekerja asing ditahan

11 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Seramai 22 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops 6P di Kawasan Perindustrian Kulai 2, dekat sini, kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Mohamad Nasir Abas berkata, serbuan jam 6.35 petang yang berakhir dua jam kemudian itu menyaksikan 30 warga asing diperiksa. Menurutnya, seramai 12 daripada jumlah keseluruhan Pati yang ditahan merupakan warga Indonesia, Bangladesh(2), Vietnam (4), Myanmar (3) dan Nepal (1).

“Semasa ketibaan anggota operasi, kebanyakan Pati ini sedang leka bekerja dan tidak menyedari kehadiran kami. Mereka bekerja sebagai tukang jahit kain-kain terpakai untuk dijadikan kain pengelap mesin dan sebagainya. “Dari siasatan yang dijalankan, pekerja asing terbabit dihantar oleh ejen yang berdaftar dari syarikat lain.

Lebih memeranjatkan, kilang yang diserbu tidak memiliki lesen perniagaan yang sah sekali gus dipercayai kilang haram,” katanya, di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, serbuan yang turut disertai oleh anggota dan pegawai dari uruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu turut menahan seorang majikan warga tempatan berusia 29 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan Seksyen 55B iaitu menggaji warga asing tanpa pas atau permit.

“Seorang lelaki warga tempatan yang bersubahat sebagai ejen yang menghantar pekerja asing tanpa pas dan permit ke kilang terbabit juga ditahan.

“10 daripada jumlah keseluruhan pekerja asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. Selain itu, katanya, kesemua mereka turut disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran

Sinar Harian

Tiada ulasan: