01 Jun 2012

Pencuri bakar rumah

11 Rejab 1433H. [MOD] -

KAMPAR: Sekumpulan anggota geng pecah rumah bukan saja melarikan barangan berharga dari rumah mangsa, malah tergamak membakar rumah berkenaan hingga hangus, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, penjenayah dikatakan mengumpil jeriji besi pada tingkap dapur rumah mangsa di Taman Bandar Baru Kampar, di sini, sebelum menceroboh masuk ke rumah teres satu tingkat itu.

Ketika kejadian, pemiliknya, Zulkifli Mohd Yusof, 60, seorang pesara polis tiada di rumah kerana berada di Kuala Lumpur.

Zulkifli yang ditemui berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jirannya, kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, dia yang menghabiskan cuti sekolah di rumah anaknya di ibu negara terkejut apabila menerima berita kebakaran yang memusnahkan hampir semua barang berharga dan dokumen penting di kediamannya itu.

“Saya tidak mengesyaki sesiapa, cuma sedih kerana kebakaran itu mengakibatkan semua barang berharga dan dokumen penting hangus.

“Sebelum ini, jarang berlaku kejadian pecah rumah atau kebakaran di kawasan ini. Kebakaran itu menyebabkan saya kerugian lebih RM100,000,” katanya.

Jiran mangsa, Lop Shoib, 62, berkata, dia menyedari kebakaran itu selepas terhidu bau asap dari rumah mangsa.

“Saya dapat lihat asap hitam berkepul keluar dari tingkap rumah mangsa sebelum segera menghubungi anggota bomba dan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Zainuddin Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.56 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 12 minit kemudian.

Menurutnya, seramai 22 anggota berjaya mengawal kebakaran dalam masa empat minit.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, asap hitam keluar berkepul dari bilik tidur rumah berkenaan. Anggota kita terpaksa memecah pintu belakang rumah mangsa untuk memadamkan kebakaran.

“Siasatan awal mendapati jeriji besi di tingkap belakang rumah mangsa diumpil dipercayai dilakukan individu yang memecah masuk kediaman berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari almari yang terbakar di bilik tidur utama serta katil dan perkakas yang turut terbakar di bilik tidur kedua.

metro/-

Tiada ulasan: