01 Jun 2012

Penyamun lalok diberkas

11 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Sepasang kekasih diberkas dalam keadaan khayal di sebuah chalet di Pengkalan Balak, di sini, pagi semalam, selepas dikenal pasti terbabit dalam jenayah samun di tiga lokasi di daerah ini.

Operasi mengesan suspek berusia lingkungan 30-an, kira kira jam 10.15 pagi itu, dilakukan pasukan Jabatan Siasatan dan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah yang berjaya mengesan kenderaan Proton Waja digunakan suspek.

Sementara itu, seorang mangsa samun dari Kampung Paya Mengkuang, V Punitavaihi, 21, berkata, ketika kejadian kira kira jam 8.10 pagi, semalam, dia dan ibu saudaranya berusia lingkungan 50-an, didatangi seorang lelaki dan wanita yang menaiki kereta Proton Waja.

"Lelaki terbabit bertanyakan rum ah sewa sebelum menyamun menggunakan sebilah pisau. Suspek mengacu pisau di perut saya dan merentap rantai leher saya serta milik ibu saudara," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kedai makan, Karem Mohamad, 50-an berkata, dia didatangi suspek lelaki yang bersarapan pagi di kedainya sebelum ditangkap sepasukan anggota polis di chalet berdekatan.

“Selesai bersarapan, dia tergesa-gesa pulang ke chalet. Tidak lama kemudian beberapa anggota polis datang membuat serbuan di chalet berkenaan sebelum saya diberitahu,
lelaki terbabit adalah penjenayah," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, pasukannya menjalankan operasi memburu suspek selepas menerima dua laporan oleh
dua mangsa berbeza.

“Hasil maklumat diterima, kami berjaya mengesan nombor pendaftaran kenderaan dinaiki suspek sehinggalah mereka dikesan di sebuah chalet di Pengkalan Balak.

“Kami turut menemui barangan yang disamun oleh suspek dan juga dadah di dalam bilik yang disewa," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 392/397 atas kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Sinar Harian

Tiada ulasan: