01 Jun 2012

Kes bunuh wanita Perancis: Sampel darah pada kad FTA tercemar

11 Rejab 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Dr Fong Chee Khai memberitahu Mahkamah Tinggi Kuantan bahawa sampel darah ibu Stephanie, Irene Mortel dan kakaknya, Vanessa Foray yang dititiskan di atas kad Fast Technology Analysis (FTA) untuk tujuan ujian DNA rosak teruk dan berkemungkinan tercemar.

Saksi itu turut bersetuju bahawa kedua- dua sampel ditandakan sebagai P76 dan P78 lebih teruk keadaannya sekarang berbanding ketika dia mula-mula melakukan pensampelan, 12 Ogos 2011.

Dia berkata demikian ketika jawapan soalan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib@Hamid berhubung perbezaan keadaan kedua-dua kad FTA itu pada hari kelapan perbicaraan kes Asni Omar, 37, yang dituduh membunuh Foray, 30, di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin, 12 Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, doktor itu masih boleh membezakan dua sampel berkenaan dan boleh membaca nama Vanessa pada sampel bertanda P76 tetapi nama Irene tidak dapat dibaca pada sampel P78.

Semasa disoal balas peguambela, Datuk Ng See Teong sama ada sampel P76 masih boleh digunakan lagi, Fong berpandangan sampel darah pada kad FTA itu telah tercemar tetapi tidak pasti boleh digunakan untuk ujian lain atau tidak kerana ia di luar bidangnya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: