01 Jun 2012

Dialog dengan Umno tunggu dulu - Presiden PAS

11 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS bersedia untuk berdialog dengan mana-mana kumpulan Islam yang menjadikan al-Quran, Hadis, Ijma' dan Qias sebagai sumber perjuangan.

Bagaimanapun, kepada kumpulan yang mengaku Islam tetapi tidak menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan perjuangan, beliau secara sinis berkata 'tunggu dulu'.

"Saya ulangi PAS sedia berdialog dengan kumpulan Islam yang menjadikan al Quran, Hadis, Ijma' dan qias sebagai rujukan.

"Kumpulan yang mengaku Islam, tapi tidak jadikan al Quran, Hadis, ijma' dan qias sebagai rujukan, tunggu dulu. Lebih-lebih lagi yang sudah berkuasa lebih 50 tahun," katanya disambut laungan takbir hadirin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat presiden di dewan Datuk Fadzil Noor Kompleks PAS Kedah sempena Himpunan Hijau Menuju Putrajaya hari ini.

Menurutnya, Umno walaupun sudah 50 tahun memegang tampuk kepimpinan, masih lagi gagal untuk menjelaskan Islam sebenar kepada rakyat kerana dasarnya yang mengambil fahaman kebangsaan.

Beliau mengulas polemik yang dimainkan Umno berhubung dialog kedua-dua parti itu yang ditimbulkan semula sejak beberapa minggu lalu.

Berucap di hadapan kira-kira 2,000 pemimpin PAS dari pelbagai peringkat, beliau juga memberitahu, PAS bersedia menggantikan Umno menjadi parti teras Melayu Islam dan pada masa sama tidak mengabaikan kaum lain.

Malah katanya, konsep negara berkebajikan yang ditawar PAS mampu memberi keadilan bukan sahaja kepada manusia pelbagai kaum malah juga kepada alam sekitar.

"Wawasan kita berbeza dengan wawasan 2020, wawasan kita dari dunia hingga ke akhirat.

"Sebab itu negara berkebajikan PAS sangat digeruni Umno kerana ia akan memberi keadilan kepada semua," katanya.

Sementara itu, semua pimpinan PAS dari Ahli Majlis Syura sehingga pimpinan parti peringkat kawasan hadir dalam program tertutup amanat khas presiden pagi ini.

Selepas program ini, program Xpresi Anak Muda dan Himpunan Hijau Ke Putrajaya akan berlangsung di Stadium Darul Aman dari jam 4 petang hingga 12 malam ini.

Harakah Daily

Tiada ulasan: