01 Jun 2012

Warga emas tercampak keluar

11 Rejab 1433H. [MOD] -

PARIT BUNTAR - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaiki bersama-sama keluarganya terbabas dalam satu kemalangan di Kilometer 185.4 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Merah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa yang dikenali sebagai P Durasingam, 66, maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu dipercayai berlaku akibat pemandu yang juga menantu mangsa, M Jayakumar, 31, gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas.

"Kereta ini kemudiannya melanggar pengadang jalan sebelum terjunam ke parit berhampiran.

"Selain menantunya, dua lagi ahli keluarga turut berada di dalam kereta berkenaan tetapi kesemua mereka hanya mengalami kecederaan," katanya. Katanya, mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk bedah siasat dan telah dituntut keluarganya.

"Mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Taiping,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: