01 Jun 2012

Kecederaan pemain hantui The Oranje

11 Rejab 1433H. [MOD] -

BELANDA bangkit mengalahkan Slovakia 2-0 pada aksi pemanas badan menjelang saingan sebenar Euro 2012 bermula 8 Jun ini di Poland dan Ukraine, awal pagi semalam.

Kemenangan tersebut mengembalikan kepercayaan peminat selepas The Oranje tumpas mengejut 1-2 di tangan Bulgaria, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kemenangan naib juara Piala Dunia 2010 itu dibayangi kecederaan beberapa tonggak utamanya sekali gus merisaukan pengendalinya, Bert van Marwijk.

Pada perlawanan itu, Wesley Sneijder terpaksa dikeluarkan sebagai langkah berjaga- jaga selepas bintang tengah Inter Milan itu mengalami kecederaan buku lali.

Manakala, Wilfred Bouma mengalami kecederaan kepala namun dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital berhampiran.

"Sneijder mengalami bengkak buku lali, tapi keadaannya stabil manakala Bouma kecederaannya tidak serius.

"Saya perlu memantau keadaan mereka setiap hari agar persiapan ke Euro tidak terjejas.

"Kecederaan hamstirng Joris Mathijsen juga beransur pulih," katanya yang berpuas hati dengan persembahan dipamerkan pemainnya sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Dalam pada itu bintang tengah Bayern Munich, Mark van Bommel mengingatkan rakan sepasukannya supaya memperbaiki mutu permainanandai mahu berjaya di Euro nanti.

"Saya gembira dengan kemenangan ini, namun harus diingat masih ada ruang yang perlu diperbaiki.

"Saya harap kami mampu mengatasi setiap kelemahandan berjaya di Euro nanti," katanya.

Untuk edisi kali ini, Belanda diundi di dalam Kumpulan B bersama Denmark, Portugal dan Juara tiga kali, Jerman.

Kumpulan B juga dianggap sebagai kumpulan maut pada kejohanan kali ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: