BRASILIA: Seramai 25 individu dipercayai ahli kumpulan perompak bank di Brazil maut dalam operasi besar-besaran polis di Minas Gerais, semalam.
Sumber memberitahu agensi berita AFP, operasi serbuan membabitkan 50 pegawai bersama anggota polis dan polis tentera ke atas dua ladang di Varginha.
Polis menyerbu dua ladang yang mana anggota organisasi jenayah yang pakar dalam merompak bank dan ATM sedang membuat rancangan serangan ke atas beberapa cawangan bank tempatan, kata sumber itu.
Lapan belas daripada suspek terbunuh di ladang pertama dan tujuh di ladang kedua, kata polis.
Tiada kemalangan jiwa membabitkan anggota pasukan keselamatan dan identiti suspek tidak didedahkan.
"Ia mungkin operasi terbesar kami terhadap jenayah jenis ini di negara ini. Ramai suspek yang mahu merompak bank terkejut dengan perkhidmatan risikan kami," kata Kapten Layla Brunnela.
"Ketika kami memulakan operasi, kami ditembak, jadi tentera terpaksa bertindak balas terhadap serangan itu bagi melindungi nyawa mereka," kata Leftenan Kolonel Rodolfo Morotti Fernandes, komander Batalion Gerakan Khas Polis, ketika taklimat di Minas Gerais.
Sejumlah besar senjata dirampas, termasuk senapang dan bom tangan, serta beberapa kenderaan yang dicuri, menurut sumber.
Polis berkata kumpulan itu sering membakar kenderaan yang dicuri itu untuk menghalang jalan selepas melakukan rompakan, sekali gus menyukarkan polis untuk mengejar mereka.
"Mengikut tahap organisasi, peralatan yang digunakan, bilangan ejen dan jumlah kenderaan, ini adalah kumpulan besar," kata Morotti Fernandes.
Brazil menyaksikan peningkatan dalam kes rompakan bank terancang yang membabitkan senjata, biasanya ia berlaku di bandar bersaiz sederhana di mana laluan melarikan diri dirancang dengan teliti.
Pada Ogos lalu, geng di bandar Aracatuba, di Sao Paulo, melakukan keganasan ketika rompakan membabitkan dron, bahan letupan dan penggunaan tebusan sebagai perisai manusia.
Tiga maut ketika serangan itu.
Morotti Fernandes berkata kemungkinan geng dari serbuan Ahad lalu adalah geng sama yang beroperasi di Aracatuba, serta bandar lain yang mengalami jenayah yang sama seperti Uberaba di Minas Gerais dan Criciuma di selatan negeri Santa Catarina. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan