01 November 2021

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan dikuat kuasa hari ini

 

AHMAD YAAKOB

KOTA BHARU: Undang-undang Islam, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan yang mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah dikuatkuasakan di seluruh negeri ini bermula hari ini.

Perkara itu disahkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika merasmikan Majlis Penerangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 secara dalam talian di laman Facebook rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), semalam.

Menurut Ahmad sejurus diberi mandat rakyat untuk mentadbir Kelantan, Pas telah melakukan pelbagai usaha merealisasikan impian melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini termasuk mewujudkan jawatankuasa khas berkaitan perkara itu.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan Rang Undang-undang Jenayah Syariah pada tahun 1993 dan bermula dari detik lahirnya Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993. Namun, enakmen edisi 1993 tidak dapat dikuatkuasakan atas sebab dan halangan tertentu.

“Seterusnya, kerajaan negeri mengambil inisiatif membuat penambahbaikan terhadap enakmen sedia ada termasuklah Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 yang mula disemak semula pada 2016 dan berakhir pada 2019,” katanya.

Ahmad memberitahu, peruntukan enakmen sedia ada itu telah dikaji, diteliti dan didapati perlu ditambah baik supaya sesuai dengan arus perkembangan sosial masyarakat hari ini selain perlu menepati Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.

Langkah itu, katanya, bagi memberi kuasa kepada  Mahkamah Syariah membicarakan kes-kes yang had hukumannya maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000  atau enam sebatan  atau gabungan mana-mana hukuman terbabit.

“Dengan itu, lahirlah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019. Enakmen ini telah memilih kaedah pelaksanaan hukuman berbentuk hukuman retributif dan hukuman restoratif untuk memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah syariah.

“Undang-undang ini bertujuan mengajar, mendidik dan menjadikan syariat Islam sebagai panduan kehidupan. Jadi umat Islam di negeri ini disaran agar sama-sama mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud enggan mengulas lanjut dan meminta media merujuk maklumat dikeluarkan pihak JHEAIK.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 mengambil masa enam tahun untuk kajian bagi tujuan penggubalan dan dibentangkan di DUN pada 14 -16 Oktober 2019 sebelum mendapat persetujuan Diraja pada 14 Julai 2020 dan diwartakan pada 31 Disember 2020.

Peruntukan sedia ada dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019:

1.Takfir (tuduhan kafir-mengkafir)

2.Menghina undang-undang 

3.Memberikan anak kepada orang bukan Islam 

4.Liwat

5.Menghasut suami isteri supaya bercerai

6.Perempuan lari dari jagaan

7.Lelaki berlagak perempuan

8.Perempuan berlagak lelaki

9.Percakapan tidak sopan 

10.Musahaqah (perlakuan lesbian)

11.Dedah aurat tempat awam

12.Beri keterangan palsu

13.Minuman yang memabukkan

14.Memberi khidmat maksiat

15.Percubaan untuk perkhidmatan maksiat

16.Zina

17.Perbuatan sumbang mahram

18.Muncikari (bapa atau ibu ayam)

19.Hamil luar nikah

20.Khalwat

21.Persubahatan

24 Peruntukan baharu dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019:

1.Sihir

2.Dakwaan palsu

3.Percubaan keluar Islam

4.Memutarbelitkan ajaran Islam

5.Tidak menghormati bulan Ramadan

6.Memusnahkan tempat ibadat

7.Persetubuhan dengan mayat

8.Persetubuhan dengan bukan manusia

9.Mencacah tatu/pembedahan kosmetik

10.Mengganggu rumah tangga orang

11.Halang hidup sebagai suami isteri

12.Memujuk orang Islam lari dari jagaan

13.Kata-kata yang boleh memecah keamanan

14.Memutuskan hubungan kerabat

15.Derhaka kepada ibu bapa

16.Apa-apa yang mengkhayalkan

17.Berjudi

18.Makan harta anak yatim

19.Tipu dalam sukatan/ukuran

20.Muamalat yang berlawanan dengan hukum

21.Penyalahgunaan tanda halal

22.Menuduh melakukan zina dan liwat

23.Subahat

24.Penetapan hukuman restoratif

UTUSAN.

Tiada ulasan: