02 November 2021

PRN Melaka: PAS lulus guna lambang Perikatan Nasional

 

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada 1 November di Pejabat Agung PAS telah meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Ketetapan ini telah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS,” ujar Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan, malam tadi.

Ahad lalu, Mesyuarat Majlis Syura Ulamak (MSU) telah membincangkan penggunaan lambang dalam PRN Melaka dari sudut siyasah syar’iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan dua penjuru agar kemenangan tidak memihak kepada PH.

MSU melihat aspek itu dalam kerangka perkara-perkara mutaghyyirat (boleh berubah) dan bukannya perkara thawabit (yang tetap). Ia perlu disesuaikan dengan tektikal dan strategi parti.

Justeru, MSU menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 84.

Suruhanjaya PIlihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Novermber sementara penamaan calon pula 8 November. – HARAKAHDAILY 2/11/2021

Tiada ulasan: