02 November 2021

Kes bunuh Zulfarhan: 6 penuntut UPNM didapati bersalah sebabkan kematian

 

Bapa Zulfarhan Osman Zulkarnain, Zulkarnain Idros dan isteri, Hawa Osman ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan kes kematian anak mereka pada hari ini. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Bapa Zulfarhan Osman Zulkarnain, Zulkarnain Idros dan isteri, Hawa Osman ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan kes kematian anak mereka pada hari ini. - NSTP/ASWADI ALIAS.


KUALA LUMPUR: Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kematian kepada Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain tanpa niat membunuh.

Hakim, Datuk Azman Abdullah mensabitkan kesalahan itu terhadap Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Keenam mereka bersama 12 lagi turut disabitkan atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Mereka yang disabitkan adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Pada 30 September lalu, mahkamah selesai mendengar kesemua hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Sepanjang perbicaraan kes yang bermula 29 Januari 2018, seramai 31 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, termasuk rebuttal (saksi untuk menyanggah) antaranya bekas Pegawai Perubatan UPNM, Dr Harniza Kosnan dan pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad.

Sementara itu, pada prosiding bela diri yang bermula 2 Oktober 2019, pembelaan mengemukakan seramai 20 saksi iaitu, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan, penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan Aerosni, termasuk kesemua 18 tertuduh.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan penuntut UPNM terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin berdepan tuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 dan 5.45 pagi 22 Mei 2017, dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem berdepan pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama dengan 12 lagi turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 dan 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi.

Pasukan peguam bela terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M Ramachelam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Hazizah Kassim.

Tiada ulasan: